Keputusan akhir RXZ Member 7.0: MB Trg 1 – PH 0

- Advertisement -

AKHIRNYA RM300,000 yang dibelanjakan Perdana Menteri ke-10 (PMX) untuk program RXZ Member 7.0 tidak menjadi modal yang berbaloi setelah bukan sahaja peserta, malahan rakyat sendiri terutamanya dari Terengganu juga menolak kerja-kerja kotor politik yang tidak bernilai kepada semua.

- Advertisement -

Ibarat dalam mulut ular, ada bisa yang juga boleh menjadi penawar, itulah yang berlaku kepada penganjur. Mereka yang memulakan langkah sumbang, menganjing kepada Kerajaan Terengganu, akhirnya mulut mereka juga yang merayu, meminta untuk berjumpa dengan Menteri Besar (MB). Mereka juga menafikan yang Kerajaan Terengganu tidak memberikan bantuan kewangan.

Jelas sekali MB dan Exco Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berjiwa besar kerana tidak bangun membalas segala fitnah yang dilancarkan oleh PH. Tetapi menunggu waktu yang sesuai untuk memetik hasil yang manis.

Kita tidak mahu melayan terhadap beberapa orang yang sudah dikenali sebagai kaki fitnah yang dari jauh, melemparkan najis kepada Kerajaan PAS Terengganu, namun tolakan angin yang lebih kuat, mengembalikan najis itu kepada mereka. Begitulah hidup mereka, penuh kehinaan kerana suka mengangkat hal yang hina.

Penganjur juga runsing jika program ini dibuat di negeri lain. Sudah elok masuk jutaan ringgit, kemudian mahu melepaskannya hanya kerana berbalah dengan MB kerana RM300,000, bukan satu tindakan yang cerdik. Pastinya kutukan dari peniaga, akan tertuju kepada penganjur yang kurang cerdik. Apatah lagi dengar khabar wang RM300,000 itu belum diterima lagi. Semoga berita ini palsu. Jika tidak, penganjur akan ditertawakan orang.

Tidak disangka apabila majoriti peserta memuji kebaikan Ahli Jawatankuasa masjid, tuan homestay dan juga rakyat Terengganu keseluruhannya atas budi baik menyediakan kemudahan sehingga makan minum yang menjadi buah tangan termanis buat mereka. Mereka membalas dengan menolak motor masing-masing apabila memasuki taman perumahan pada lewat malam agar tidak mengganggu.

Tiba-tiba ia kelihatannya menjadi hubungan yang erat. Dan lebih menggembirakan lagi akan menjadi buah mulut ratusan ribu peserta itu, inilah contoh negeri PAS yang sangat baik dan pemurah. Pasti ia akan menjadi kredit yang sangat bernilai kepada PAS. Secara tersirat, ini adalah kempen positif kepada PAS.

Siapa sangka isu yang pada mulanya PH berniat untuk menjadikan program ini liabiliti kepada MB Terengganu, bertukar menjadi aset yang bernilai dengan ada diantara peserta yang singgah mahu berjumpa dengan MB setelah mengetahui isu ini, kerana bersimpati.

Tidak puas PH mahu menyeksa MB Terengganu, dalam banyak perkara, MCO, sekatan royalti, RMK13 yang tidak menyebelahi Terengganu serta banyak lagi. MB Terengganu tetap teguh berdiri dan semakin disokong rakyat kerana tahu apa usaha yang telah beliau jalankan untuk rakyat Terengganu.

Begitulah perancangan Allah menenggelamkan kejahatan musuh. Segala rancangan jahat tidak diizinkan Allah berlaku, biar sehebat manapun rancangan mereka. Jadi inilah ulasan terakhir aku berkenaan RXZ Member 7.0. Kita tumpu isu lain, PH kalah lagi.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 28/8/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -