
KUALA LUMPUR: Agensi pelancongan Islam terkemuka, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, meraikan lebih 500 jemaah haji musim 1446 Hijrah/2025 Masihi dalam satu majlis khas di ibu negara, hari ini.
Majlis Perjumpaan Ukhwah Jemaah Haji Andalusia Travel & Tours musim 1446H/2025M di sini bertujuan mengeratkan kembali hubungan antara jemaah yang telah selesai menunaikan ibadah haji serta sebagai tanda penghargaan pihak syarikat terhadap kepercayaan yang diberikan.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, berkata program tahunan itu merupakan inisiatif syarikat untuk menyantuni para jemaah dan mengekalkan hubungan ukhuwah yang terjalin sepanjang berada di Tanah Suci.
“Ia bukan sahaja platform untuk menghargai jemaah, malah sebagai ‘jambatan’ untuk merapatkan kembali silaturahim antara jemaah dan pihak syarikat,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan, Ibrahim Mat Sin.

Sepanjang majlis, klip-klip video perjalanan haji para jemaah turut dipertontonkan, yang ternyata menyentuh emosi sebahagian hadirin yang hadir.
Mengulas lanjut, Ida Riswana berkata majlis seumpama itu juga memberi ruang kepada pihak syarikat mengetahui perkembangan terbaharu para jemaah selepas pulang ke tanah air, selain menjadi medan promosi bagi menarik lebih ramai memilih Andalusia untuk mengerjakan haji dan umrah.
Beliau turut menyentuh beberapa cabaran yang dihadapi sepanjang musim haji tahun ini, antaranya perubahan mendadak dari segi peraturan baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi, termasuk penggunaan aplikasi Nusuk yang menuntut penyesuaian segera.
“Cabaran utama tahun ini adalah apabila banyak prosedur berubah tanpa makluman awal. Ini menyukarkan perancangan, terutama membabitkan penggunaan aplikasi dan proses kemasukan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerjasama rapat dengan Tabung Haji membantu memperkemas urusan jemaah yang menunaikan ibadah haji bersama Andalusia.
“Kami sentiasa komited memastikan kebajikan jemaah terpelihara sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Andalusia turut mencatat kejayaan membanggakan apabila menerima dua anugerah antarabangsa berprestij sempena The BrandLaureate 20th Anniversary Special Limited Edition BestBrands Awards 2025 yang berlangsung di Singapura, baru-baru ini
Anugerah yang diterima adalah melalui dua kategori utama iaitu Excellence in International Umrah Travel & Tour di bawah BestBrand Award 2025, dan The Brand Leadership Award 2025 – Industry Icon. – HARAKAHDAILY 16/8/2025




















