
KUALA LUMPUR: PAS menggesa agar semua pihak kembali menghayati falsafah kemerdekaan dan prinsip Rukun Negara berikutan polemik isu Jalur Gemilang yang telah dipasang secara terbalik dalam satu kejadian di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, arahan Anthony Loke kepada Pemuda DAP supaya membuat laporan polis terhadap Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh berhubung insiden berkenaan dilihat sebagai tindakan berlebihan, janggal dan berpotensi memburukkan keadaan.
Setiausaha Agung PAS itu berkata, sebagai parti dalam gabungan politik yang sama di peringkat Pusat dan negeri, Umno dan DAP sepatutnya mencari jalan damai secara dalaman tanpa membabitkan pihak polis atau orang awam dengan naratif tidak sihat dan tidak membina.
“Ini lebih-lebih lagi kerana suasana tidak selesa ini hanya berpunca daripada tindakan seorang individu yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik dan ia sudah pun berada dalam siasatan polis.
“Malangnya ia diperbesarkan oleh saling tindakan kedua-dua parti dengan alasan dan motif masing-masing. Untuk rekod PAS secara tegasnya telah menasihati Pemudanya supaya tidak campur dalam peristiwa tersebut.
“PAS percaya kedua-dua pihak hendaklah menghormati dan menyokong proses rasmi siasatan polis yang sedang berjalan tanpa menambah tekanan tidak perlu,” ujar beliau terhadap tindakan Setiausaha Agung DAP kepada Ketua Pemuda Umno itu.
Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian hanya akan menyebabkan dua parti kerajaan itu hanyut dan berdepan risiko masalah yang lebih besar kerana tindakan tidak berhemah di satu pihak akan mengundang tindak balas serupa atau lebih buruk daripada yang lain.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan, isu yang berpunca daripada seorang individu tidak seharusnya melarat sehingga melibatkan masyarakat luas dalam kitaran konflik tidak bermanfaat.
“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 68 yang bakal tiba beberapa ketika lagi, PAS menggesa semua pihak supaya kembali menghayati teras dan falsafah pembentukan negara.
“(Ia) serta prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai pedoman bersama untuk benar-benar merealisasikan cita-cita perpaduan dan kemakmuran semua tanpa mengira latar belakang kaum, budaya atau kepercayaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/8/2025











