
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan berharap pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dibuat secara menyeluruh, berasaskan kajian terperinci serta melibatkan komuniti setempat bagi memastikan keberkesanan yang positif.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata antara projek utama RTB termasuk pembinaan benteng pertahanan rakyat dan pelindung harta benda, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan bagi memastikan keselamatan rakyat.
“Banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini telah menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal, memusnahkan kawasan pertanian dan menjejaskan perniagaan.
“Ia turut memberi tekanan besar kepada kerajaan untuk memperuntukkan belanjawan pemulihan serta pembinaan semula,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pengurus-Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di sebuah hotel di sini.
Katanya lagi, sebagai langkah mitigasi, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk pembinaan empangan, projek tebatan banjir dan sistem saliran yang lebih baik di mana kerajaan negeri juga mengarahkan JPS segera memperbaiki infrastruktur rosak akibat banjir.
Selain itu, Pelan Induk Sistem Saliran Mesra Alam (PISMA) akan diperkenalkan di bandar utama bagi mengurangkan risiko banjir kilat dan memastikan sistem saliran yang lebih berdaya tahan pada masa hadapan.
Pada masa yang sama katanya, kerajaan negeri turut meminda Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan bagi memastikan kawasan tadahan air dan sungai dilindungi di samping mengurangkan risiko pencemaran.
“Kawasan perlindungan sumber air mentah akan diwartakan, manakala Jabatan Sumber Air Negeri akan memperketat peraturan bagi menjamin kelestarian sumber air untuk generasi akan datang.
“Kerajaan Negeri menegaskan pengurusan sumber air bukan sekadar urusan teknikal, tetapi amanah untuk menjamin kelangsungan hidup, kesejahteraan masyarakat dan keseimbangan alam,” ujarnya lagi.
Pada majlis itu juga beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air atas kelulusan peruntukan pembangunan sebanyak RM4.15 bilion bagi melaksanakan 17 projek di negeri ini.
Tambahnya, peruntukan itu bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat khususnya dalam usaha mengurangkan risiko banjir serta melaksanakan pemuliharaan pantai. – *HARAKAHDAILY 15/8/2025*




















