
BARU pulang daripada Konvensyen PAS Selangor 2026 tempoh hari, mengingatkan saya satu foto yang saya ambil, penuh tafsiran dan seribu kisah. Senyuman dilontarkan oleh seorang anggota Jabatan Amal di satu sudut pusat konvensyen, penuh keikhlasan. Beliau sedang memangku seorang bayi kecil, tenang seolah-olah faham ‘abah’ yang sedang bertugas.
Anggota ‘semut merah’ ini bukan sahaja seorang bapa malah menjadi petugas yang menjadi benteng keselamatan pimpinan, ahli mesyuarat dan ahli jemaah. Tarbiyah ini bukan terbina sehari dua. Ia terhasil daripada tarbiyah yang telah lama dipupuk di dalam PAS. Gambar ini juga sebagai simbolik bahawa pentingnya lelaki Qawwam – lelaki gagah yang berjuang di medan perjuangan, juga lelaki yang kasih dan lembut dengan isteri dan anak-anak di rumah.
Ramai yang takut dilabel ‘Queen Control’ atau ‘Geng Takut Bini -GTB’. Realitinya Islam mengajar lelaki menjadi Qawwam – sebagai pemimpin, pelindung dan penyara keluarga, dengan adil dan penuh kasih sayang. Menjadi lelaki Qawwam bukan bermakna berkuasa autoriti, veto atau bersikap narsisistik tetapi memimpin dan sedar tanggungjawab yang besar di sisi Allah.
Firman Allah Taala:
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌۭ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ وَٱلَّـٰتِى تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهْجُرُوهُنَّ فِى ٱلْمَضَاجِعِ وَٱضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا۟ عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيًّۭا كَبِيرًۭا ٣٤
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah An-Nisa ayat 34)
Jabatan Amal adalah tulang belakang gerak kerja PAS di lapangan. Keberadaan mereka di setiap program adalah untuk memastikan keselamatan, memberi bantuan dan mengurus logistik. Lelaki Qawwam di lapangan adalah sebagai pelindung masyarakat. Tanpa mengira panas, hujan, rebut petir, Jabatan Amal berkorban untuk memastikan dakwah, tarbiyah dan gerak kerja kebajikan berjalan lancar.
Simbolik bayi di pangkuan adalah sebagai penanda aras, lelaki Qawwam bukan sahaja gagah di medan perjuangan malah diterjemahkan sebagai pemegang amanah Allah – memelihara, menyara dan mendidik anak-anak.
Tanggungjawab yang besar digalas bukan sahaja di medan perjuangan juga di rumah. Walaupun penat, di rumah tetap menghulur senyuman, membantu isteri, memuliakan keluarga dan meletakkan rumahtangga sebagai ladang pahala.
Hubungan suami isteri dalam perjuangan Islam adalah suatu bentuk sinergi yang menguatkan kedua-dua belah pihak. Ia bukan soal ‘siapa dominan’ atau ‘siapa yang menguasai siapa’ di dalam rumahtangga. Muslimat berperanan memberi sokongan moral dan sama-sama bersinergi di dalam perjuangan. Sang suami pula menghargai pengorbanan para isteri dengan membeli jiwa, menjaga hati dan masa untuk keluarga. Inilah kerjasama dan sinergi sebenar – dua sayap yang boleh terbang tinggi, mengangkat martabat dan objektif berjemaah yang destinasi akhirnya membawa semua ahli keluarga ke syurga Allah, Insya Allah.
Gambar anggota Jabatan Amal tersenyum memangku seorang bayi comel – manifestasi lelaki Qawwam di dalam jemaah yang menjadi ‘wira’ di medan dan ‘hero’ di rumah. Mereka adalah lambang kepimpinan Islam yang sejati, penuh kekuatan, kelembutan dan kasih sayang. Jangan lupa juga ‘wira dan hero sang semut merah’ ini di belakangnya seorang wanita yang bernama isteri yang sama-sama berjuang dan berkorban Lillahi Taa’la.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:
الْمُؤْمِنُ القَوِيُّ، خَيْرٌ وَأَحَبُّ إلى اللهِ مِنَ المُؤْمِنِ الضَّعِيفِ، وفي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ علَى ما يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ باللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ
“Orang mukmin yang kuat (segalanya) itu, lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah sedang setiap (mukmin) itu semuanya baik. Utamakanlah (berusahalah) terhadap perkara yang menjamin kemanfaatanmu dan sentiasa bermohon pertolongan Allah tanpa rasa lemah semangat.”
DR WADZ
Aktivis Kesihatan PAS – HARAKAHDAILY 15/8/2025











