
ALOR SETAR: Kes dua pelajar perempuan tingkatan satu yang didakwa di Mahkamah Sungai Petani kerana mengurung rakan sebaya dalam tandas menjadi peringatan tegas bahawa sekolah tidak boleh melindungi pelaku buli.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari menegaskan, tindakan segera menangkap dan mendakwa pelaku adalah langkah tepat bagi menghentikan budaya buli di peringkat awal persekolahan.
“Sekolah tidak perlu melindungi pelaku. Tak ada untung sekupang pun jika sekolah berbuat demikian. Dengan ketegasan, insya-Allah pelajar-pelajar lain yang berisiko jadi mangsa dapat diselamatkan lebih awal,” katanya.
Mangsa dalam kejadian tersebut mengalami trauma walaupun hanya cedera ringan, namun menurut Mardhiyyah, kecederaan lebih serius dapat dielakkan dengan tindakan pantas pihak berkuasa.
Selain menyelamatkan mangsa, beliau berkata, dua pelajar yang menjadi pelaku juga sebenarnya telah diselamatkan daripada terjerumus lebih jauh dalam jenayah yang boleh membawa hukuman lebih berat pada masa depan.
“Lindungi dan pertahankan sekolah serta guru-guru jika mereka menghukum pelajar yang degil, kurang ajar, selalu melanggar peraturan atau tidak hormat guru. Tetapi pertahankan pelajar jika mereka tersalah atau terkhilaf tanpa sengaja,” jelasnya.
Namun beliau menegaskan, tiada siapa wajar dipertahankan apabila terbabit dalam perbuatan zalim atau buli.
“Siapa yang membuli, dia kena rasa akibatnya. Sekolah atau pentadbiran yang ada autoriti tetapi cuai sehingga kejadian berlaku, juga ada kesalahannya,” tegas beliau.
Menurut Mardhiyyah, jika unsur jenayah tidak dapat dibuktikan, itu adalah urusan polis dan mahkamah, bukannya alasan untuk sekolah tidak bertindak.
Beliau menggesa setiap kes buli, gangguan seksual atau apa-apa jenayah di sekolah dikenal pasti pelakunya dan diserahkan terus kepada pihak polis, sambil pihak sekolah bersikap jujur kepada waris pelajar.
Terdahulu, pada 19 Julai lalu, media melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan satu ditemukan di dalam tandas sekolah dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher, manakala mulutnya disumbat dengan sapu tangan.
Pelajar berkenaan kemudian menerima rawatan di hospital selepas mengalami kecederaan ringan di tangan dan kaki, selain trauma akibat insiden itu.
Kes tersebut kini sedang dibicarakan di Mahkamah Sungai Petani. – HARAKAHDAILY 15/8/2025











