Rakyat Perlis diajak meriahkan Hari Kebangsaan Ke-68

- Advertisement -

KANGAR: Rakyat Perlis diajak turun beramai-ramai memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Perlis yang akan berlangsung pada Ahad, 31 Ogos ini.

- Advertisement -

Upacara akan bermula jam 7.00 pagi di laluan berhadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Jalan Tuanku Syed Putra, Kangar Jaya, di sini.

Bertemakan ‘Malaysia Madani: Perlis Bestari, Rakyat Disantuni’, sambutan pada tahun ini menekankan nilai keprihatinan, kesejahteraan dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Ia selaras dengan gagasan ‘Perlis Bestari, Rakyat Disantuni’ yang mengangkat kesejahteraan bersama.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pelbagai acara menarik telah disusun termasuk perbarisan, perarakan kenderaan aset tentera dan pasukan beruniform, persembahan kebudayaan serta pameran melibatkan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya menyeru seluruh warga Perlis untuk sama-sama hadir, membawa keluarga, mengibarkan Jalur Gemilang dan memeriahkan suasana.

“Kehadiran rakyat akan menjadi tanda kesatuan hati kita dalam mempertahankan kemerdekaan dan membina masa depan negeri yang lebih gemilang,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Perlis akan mengeluarkan hebahan khusus mengenai penutupan jalan dan kawalan lalu lintas di sekitar lokasi acara.

Manakala Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan mengadakan sesi libat urus bersama para peniaga bagi meminimumkan gangguan operasi harian sepanjang tempoh persiapan.

“Tujuan sesi ini adalah untuk memberikan penerangan lanjut dan mendapatkan maklum balas semua pihak agar sebarang gangguan terhadap operasi perniagaan harian dapat diminimumkan.

“Iaitu melibatkan sepanjang tempoh persiapan sehingga ke tarikh sambutan,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Orang ramai digalakkan mendapatkan maklumat terkini melalui media sosial rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis serta hebahan agensi berkaitan.

Orang ramai juga diseru mengambil peluang menjadikan sambutan ini sebagai wadah memperkukuh silaturahim dan semangat patriotisme di bumi Perlis. – HARAKAHDAILY 15/8/2025

- Advertisement -