
GEORGE TOWN: Kecemerlangan seseorang tidak hanya diukur daripada pencapaian peribadi, tetapi juga pada kemampuan dan kesediaan mereka untuk memberi sumbangan kepada orang lain.
“Jadilah generasi yang membanggakan, bukan sekadar pada nama, tetapi pada tindakan dan budi pekerti,” titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah mengingatkan para pelajar agar sentiasa membuka horizon pemikiran, melihat dunia dengan pandangan luas dan matang, membina keyakinan memimpin melalui teladan.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang bakal menjelang, baginda juga bertitah dengan pesanan agar mengukuhkan jati diri serta menanamkan semangat cintakan negeri dan negara.
Titah itu disampaikan ketika berangkat menyempurnakan majlis penutupan Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang untuk pelajar terbaik dan pengawas terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis 2025 di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang, di sini semalam.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan baginda disambut Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.
Turut hadir bersama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Bank Rakyat, Noor Aeiza Hassan.
Bengkel anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Yayasan Bank Rakyat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta MAIPs ini berlangsung selama tiga hari bermula 12 Ogos, melibatkan 103 peserta.
Sepanjang program, pelajar didedahkan dengan pelbagai pengisian termasuk motivasi pembelajaran, kefahaman perlembagaan dan pemerintahan negara, nilai murni, forum kerjaya cemerlang, peningkatan kualiti kepimpinan dan kerja berkumpulan.
Baginda berdua turut mengetuai sesi sambutan menjelang Hari Kebangsaan ke-68 dengan menyanyikan Lagu Warisan dan Jalur Gemilang, diikuti laungan ‘Merdeka’ tujuh kali, dan diakhiri nyanyian penuh semangat Negaraku.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan agar nilai disiplin, kejujuran, hormat-menghormati dan tanggungjawab dijadikan asas dalam setiap tindakan pelajar demi melahirkan generasi unggul masa depan. – HARAKAHDAILY 15/8/2025











