
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu optimis mampu menjana pendapatan baharu sebanyak RM530 juta menjelang tahun 2030 melalui pelaksanaan pelbagai dasar termasuk ekonomi digital, industri baharu dan tenaga hijau di bawah inisiatif Transformasi Ekonomi Terengganu Baharu (TNEXT).
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sasaran itu berpijak pada realiti berdasarkan peningkatan prestasi pendapatan baharu yang dicapai sejak 2023.
Katanya, pendapatan baharu negeri meningkat daripada bawah RM30 juta kepada RM77 juta pada tahun lalu, manakala bagi tempoh setengah tahun pertama 2025 sahaja, Terengganu telah merekodkan RM62 juta.
“Kita yakin sasaran melebihi RM100 juta pendapatan baharu tahun ini dapat dicapai. Pendapatan baharu ialah hasil bukan cukai yang dijana selepas kita memberi fokus kepada sumber-sumber pendapatan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran dasar dan pelan berkenaan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini kelmarin.
Nurkhuzaini berkata, antara projek berimpak tinggi yang menyumbang kepada hasil negeri termasuk projek tenaga hijau seperti hibrid solar, hidrogen hijau dan solar terapung di Tasik Kenyir.
“Projek solar terapung berkapasiti 600 megawatt di Tasik Kenyir dijangka memberi pulangan terus RM34 juta setahun kepada negeri melalui ‘status payment’, tidak termasuk dividen daripada penglibatan anak syarikat kerajaan negeri.
“Apabila kapasiti ditingkatkan kepada 2.5 gigawatt seperti diumumkan Perdana Menteri, Terengganu akan menyumbang lebih 20 peratus bekalan tenaga negara,” katanya.
Selain pendapatan katanya, inisiatif tenaga hijau turut membuka peluang pekerjaan baharu dengan sasaran 2,000 hingga 3,000 pekerjaan menjelang 2030.
“Kita bukan sekadar menjual tenaga kepada grid, sebaliknya bergerak ke arah ‘midstream’ yang menjana lebih banyak peluang pekerjaan. Kita juga menetapkan syarat kepada pelabur supaya 70 peratus tenaga kerja dalam projek tenaga di Terengganu terdiri daripada rakyat tempatan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan pelan transformasi dibuat secara berperingkat mengikut kemampuan semasa supaya tidak membebankan kewangan negeri.
“Kita berpegang pada konsep ‘tidak mampu buat semua, jangan tinggalkan semua’. Cabaran memang ada, jadi kita menilai mengikut kemampuan semasa dan bergerak seiring dengannya.
“Sebab itu kita tidak melancarkan gagasan yang terlalu besar kerana bimbang ada yang tercicir dalam pelaksanaannya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/8/2025




















