
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyatakan sokongan penuh terhadap pendekatan politik matang dan sejahtera yang dibawa oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dalam pentadbiran negeri.
Kelantan sejak dahulu sarat dengan budi bahasa dan budaya, di mana tetamu disambut dengan senyuman dan santun hingga aura kepimpinan beliau yang digelar ‘Singa Kelantan’ di pentas politik terserlah sejak sebelum diamanahkan sebagai Menteri Besar.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, pendekatan ini bukan sesuatu yang baharu kerana mantan Menteri Besar sebelum ini juga mengamalkannya dengan memberi keutamaan kepada rakyat melalui politik damai dan diplomasi.
“Di pentas kerajaan, kita boleh menghormati federalisme dan hubungan antara kerajaan. Kita boleh bersama atas dasar amanah berkerajaan, tetapi di pentas politik tidak salah untuk kekal berprinsip. Tiada apa yang mengubah prinsip politik,” ujarnya.
Beliau menegaskan selain bidang pendidikan pondok, masih banyak keperluan rakyat Kelantan yang perlu dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, rakyat Kelantan yang juga pembayar cukai berhak mendapat agihan peruntukan Persekutuan sama seperti negeri lain.
“Tidak timbul soal lawan tidak bagi kerana hak adalah hak yang perlu dilunaskan termasuk tuntutan royalti dengan jumlah sebenar. Wang Ehsan adalah sebahagian daripada hak royalti rakyat Kelantan.
“Tuntutan lain juga ‘valid’ seperti lebuh raya, prasarana, air bersih dan tanggungjawab Persekutuan,” katanya lagi.
Mohd Firdaus turut menegaskan ketika menerima rombongan kerajaan, Kelantan sentiasa mengamalkan adab dan penghormatan atas nama hubungan federalisme, namun di pentas politik, suara rakyat tetap akan diperjuangkan.
“Di pentas politik tidak salah kita suarakan kebimbangan kestabilan negara dengan melaungkan suara rakyat ‘Turun Anwar’, atau mengaminkan Qunut Nazilah terhadap kezaliman,” ujarnya lagi. – *HARAKAHDAILY 10/8/2025*




















