
KANGAR: Seminar Women of Sunnah Perlis 2025 menjadi medan memperkasa golongan wanita sebagai pendamping dakwah dan agen perubahan, selaras dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah.
Bertemakan ‘Lelaki dan Wanita Adalah Auliya Antara Satu Sama Lain’, program ini anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Light Upon Light dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Ia menghimpunkan kira-kira 400 peserta dari dalam dan luar negara di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, baru-baru ini.
Raja Puan Muda, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran seminar tersebut yang menekankan prinsip kerjasama, saling menyokong dan perkongsian rohani antara lelaki dan wanita.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh isteri Menteri Besar, Najwa Othman dan Pengasas dan Pengerusi Jannah Institute, Dr Haifaa Younis dari Irvine, California, Amerika Syarikat yang turut menjadi penceramah utama.
Dalam dua sesi perkongsian ilmunya, Dr Haifaa Younis mengangkat kisah wanita-wanita agung dalam sejarah Islam sebagai inspirasi kepada golongan wanita.
Jelasnya, wanita mampu memainkan peranan besar dalam memperkukuh institusi keluarga, membina masyarakat bertakwa dan menggerakkan agenda dakwah.
Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan melaksanakan simbolik perasmian sebagai tanda pembukaan rasmi seminar yang penuh dengan pengisian rohani itu. – HARAKAHDAILY 10/8/2025











