
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli meluangkan masa menyantuni anak muda yang mengambil bahagian dalam pertandingan futsal mingguan Piala Santai Budak Kampung 09 di D’Futsal Batu 2, di sini pada Khamis.
Pertandingan yang dianjurkan secara inisiatif oleh anak muda setempat itu melibatkan enam pasukan terdiri daripada pemuda kampung sekitar Abi Batu Pahat, Padang Melangit, Nesam dan Kampung Syed Omar.
Menariknya, liga futsal tersebut dijalankan setiap minggu secara berterusan hasil kerjasama para peserta yang mengumpul dana sendiri bagi menyediakan hadiah, termasuk piala pusingan, selain sumbangan orang ramai.
Inisiatif ini menurut penganjur, bertujuan mengisi masa lapang dengan aktiviti sihat sekali gus mengelakkan golongan belia daripada terjebak dengan gejala tidak berfaedah.
Pada kesempatan itu, Menteri Besar turut memberikan sokongan moral kepada penganjur dan peserta, selain menyampaikan hadiah kepada pasukan yang menjuarai pertandingan minggu ini.
“Insya-Allah, kita menyambut baik dan menyokong usaha anak muda di sini untuk mengisi masa dengan aktiviti yang berfaedah, dia jadi bakat elok nanti ni, rapatkan silaturahim jugak,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Baharuddin Ahmad dan Setiausaha Politik, Mustaqim Abdullah.
Menurut Mustaqim, aktiviti anak muda di sini menjadi perhatian Menteri Besar hinggakan beliau hari ini meluangkan masa untuk bersama dengan mereka.
“Banyak kali lalu tengok, banyak minggu dah MB duk tengok, hari ni MB singgah kat sini,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 10/8/2025











