
KANGAR: Maklumat hartanah yang tepat, relevan dan terkini merupakan asas penting kepada perancangan pembangunan, pelaburan serta dasar perumahan negara, tegas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penerangan dan Digital, Asrul Aimran Abdul Jalil.
Beliau berkata, keberkesanan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) sebagai pusat rujukan utama tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama erat pembekal data dari pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan dan swasta.
“Sebagai pusat rujukan utama dalam penyediaan data dan maklumat hartanah negara, NAPIC tidak akan dapat berfungsi secara efektif tanpa kerjasama erat daripada pembekal data.
“Sumbangan yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi menjadi asas kukuh kepada pembuatan dasar, pelaburan strategik dan pembangunan sektor hartanah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pembekal Data NAPIC Tahun 2025 di Hotel Seri Malaysia, di sini pada Khamis.
Asrul Aimran turut merakamkan penghargaan kepada semua pembekal data dari negeri Perlis dan negeri jiran, Kedah, yang telah menunjukkan komitmen tinggi menyalurkan data secara konsisten kepada NAPIC.
“Hari ini, kita bukan sahaja berkumpul untuk meraikan kejayaan dan komitmen para pembekal data, tetapi juga bagi memperkukuh jalinan kerjasama antara sektor awam dan swasta demi masa depan yang lebih lestari,” ujarnya.
Majlis anjuran Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri Perlis dengan kerjasama NAPIC itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara sektor awam dan swasta dalam pengurusan maklumat hartanah negara.
Pada majlis tersebut, beberapa pembekal data menerima sijil penghargaan atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tahun.
“Dengan penghargaan yang diberikan hari ini, saya berharap ia menjadi pembakar semangat untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui perkongsian data berkualiti, tepat dan diyakini.
“Marilah kita terus menyokong usaha NAPIC dalam menjadikan sistem maklumat hartanah negara lebih komprehensif, responsif dan berpandangan ke hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/2025











