
KANGAR: Perlis terus melakar kejayaan dalam sektor pelaburan apabila dua projek baharu bernilai keseluruhan RM1.56 bilion diluluskan untuk pembangunan di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA).
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kelulusan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Pelaburan CVIA (JPPPCVIA), membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi strategik kawasan tersebut.
Namun begitu menurutnya, nama syarikat yang terlibat tidak dapat didedahkan buat masa ini kerana masih di peringkat awal dan tertakluk kepada perjanjian kerahsiaan.
“Kerajaan negeri perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan mana-mana pihak berkepentingan dalam usaha pelaburan ini,” katanya dalam sidang DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa infrastruktur dalaman Fasa 1 CVIA seluas 440 ekar telah siap sepenuhnya dan kini bersedia menerima pelabur secara aktif.
JPPPCVIA yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri akan terus memantau kelulusan serta pelaksanaan projek bagi memastikan pembangunan teratur dan berimpak tinggi kepada ekonomi negeri.
Sebelum ini Mohd Shukri (PN-Sanglang), ketika menjawab soalan Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan), turut mengumumkan bahawa projek Jeti Bersepadu Sanglang (SIJ) akan bermula selepas Pelabuhan Darat Perlis (Perlis Inland Port – PIP) Fasa 1 memulakan operasi sepenuhnya pada suku pertama 2026.
SIJ dijangka menjadi pemacu baharu kepada sektor logistik, pelancongan, perikanan dan akuakultur, di samping menyokong pengangkutan kargo petroleum dan kargo pukal.
“Projek ini juga dijangka membuka 3,000 peluang pekerjaan apabila siap dilaksanakan,” katanya.
Untuk projek PIP, beliau berkata Fasa 1 dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 22 September ini, sekaligus menjadikan Perlis sebagai hab logistik strategik bagi perdagangan rentas sempadan Malaysia–Thailand.
Tambah beliau, PIP akan menjadi nilai tambah kepada pelbagai projek utama bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) seperti CVIA, Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ) dan Perlis Super Fruits Valley (PSFV). – HARAKAHDAILY 7/8/2025




















