Tuduh semberono, Anwar ambil ‘maklumat sampah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Ustaz Idris Ahmad menyelar tindakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung dakwaan kononnya membela warga asing dalam isu subsidi.

Naib Presiden PAS tersebut berkata, tindakan Perdana Menteri terhadap bekas Perdana Menteri itu menggambarkan sikap ‘cakap dulu, fikir kemudian’ yang jelas tidak mencerminkan kewibawaan seorang negarawan.

“Konfiden bukan main, tapi tuduh semberono dalam Dewan Rakyat kepada bekas PM, Tan Sri Muhyiddin kononnya bela warga asing dalam isu subsidi. Lagi parah, dituduh ketika beliau tiada dalam dewan, dan bila ditanya, dengan yakin jawab: ‘Pagoh yang kata’,” bidasnya.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut mempersoalkan integriti Perdana Menteri yang menurutnya sanggup menggunakan maklumat tidak sahih sebagai asas kenyataan rasmi dalam Dewan Rakyat.

“Hairan, seorang Perdana Menteri boleh ambil ‘maklumat sampah’ sebagai asas ucapan rasmi. Di mana wibawa seorang negarawan jika tuduhan dibuat tanpa semak silang fakta? Ini bukan sembang kedai kopi, ini Dewan Rakyat,” tempelaknya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan seperti itu sepatutnya hanya dilakukan oleh penyokong kerajaan yang dikenali dengan gelaran ‘Cybertrooper (CT)’, bukan oleh seorang Perdana Menteri.

“Biarlah CT PH sahaja yang buat kerja yang tidak bermaruah ini. Jangan pula seorang PM pula sama taraf macam CT sahaja, yang memang itu makanan harian mereka. Buat malu kat orang je.

“Sekarang baru sibuk suruh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) siasat siapa yang sebarkan maklumat bohong itu. Jangan lupa suruh SKMM siasat siapa pemegang akaun _Harakatdaily HD_ sama,” katanya sinis. – HARAKAHDAILY 7/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -