Malaysia perlukan ‘PETRONAS’ untuk Rare Earth: REENAS jadi solusi

- Advertisement -

SUDAH menjadi kelaziman saya membuka channel Youtube ‘Parlimen Malaysia’ apabila pulang dari kerja.

Melayan karenah Ahli Parlimen kita yang tidak kurang kering gusi dan naik darah dibuatnya; ia menjadi hiburan tatkala tersekat dalam kesesakan jalan raya menghala keluar dari ibu kota.

Tanpa memberi sepenuh perhatian kepada perbahasan Ahli-ahli Parlimen kita, secara tiba-tiba saya tertarik kepada perkataan ‘REENAS’ yang diucapkan dari hiruk pikuk perbahasan Ketua Pembangkang Malaysia, Dato’ Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

REENAS? REENAS ini … apa benda? Perhatian saya kini tertumpu kepada perbahasan Dato’ Seri Hamzah.

Apabila minyak mula-mula dijumpai di Miri, Sarawak pada tahun 1910 di bawah pemerintahan Brooke, syarikat minyak Shell telah lebih awal mengaut keuntungan hasil bumi bertuah kita pada ketika itu.

Tahun berselang, dekad berganti, lebih banyak minyak kemudiannya dijumpai di Sabah, dan seterusnya di Kelantan, Terengganu di sebelah Semenanjung Malaysia, melengkapkan segi tiga emas hitam kita.

Jika bukan kerana kebijaksanaan bapa-bapa kita yang terdahulu, segala kekayaan, kemahsyuran dan kenikmatan dari hasil bumi kita masih lagi dikuasai dan dikawal oleh syarikat minyak seperti Shell, Esso mahupun British Petroleum (BP). Mujurlah pada ketika itu, kebijaksanaan para pemimpin kita berusaha menubuhkan sebuah entiti yang akhirnya menjadi teraju utama kemajuan dan kekayaan bumi Malaysia sehingga ke hari ini, iaitu syarikat minyak PETRONAS.

Bolehkah kita bayangkan sekiranya kita tidak pernah ada PETRONAS? Kemungkinan separuh dari segala kemegahan yang kita ada pada hari ini, termasuklah Menara Berkembar KLCC, Litar Sepang mahupun bandar elit Putrajaya, tidak akan wujud.

Lebih separuh abad berlalu selepas penubuhan PETRONAS, kita sekali lagi diberkati dengan punca kekayaan yang entah dari mana, dan secara tiba-tiba ditagih oleh seluruh dunia; iaitu Unsur Nadir Bumi atau Rare Earth Elements (REE).

REE ini amat berharga kerana ia menyumbang kepada pasaran teknologi moden seperti industri EV dan elektronik. Di Malaysia, simpanan REE bernilai potensi sekitar USD 168 bilion (bersamaan ±RM 747 bilion berdasarkan kajian kerajaan) jika dimanfaatkan sepenuhnya.

Malaysia memiliki sekitar 16 juta tan simpanan REE bukan radioaktif, terutamanya di negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Pahang.

Jumlah ini gila. Gila jika mahu dibandingkan dengan saiz ekonomi Malaysia. Ia berupaya melonjakkan Malaysia di peta dunia sebagai salah sebuah ekonomi penentu hatta saiz negaranya yang kecil!

Tetapi adakah kita mahu menunggu 20-30 tahun lagi untuk bertindak? Adakah kita mahu membiarkan sejarah minyak sebelum penubuhan PETRONAS mengulangi episodnya? Adakah kita mahu membiarkan syarikat asing terlebih dahulu merobek kekayaan kita dan mendapat manfaatnya sebagaimana syarikat minyak Shell, Esso dan BP pada zaman sebelum penubuhan PETRONAS? Kita tidak boleh mengulangi kesilapan dan kealpaan kita dalam episod PETRONAS. Kita harus bertindak segera.

Apabila Dato’ Seri Hamzah menyebut REENAS, bagi saya ia bukanlah suatu terma yang sukar untuk difahami. REE bermaksud ‘Rare Earth Elements’ dan NAS membawa singkatan ‘Nasional’, mirip entiti yang telah banyak berjasa kepada kita, iaitu PETRONAS.

Kita perlu suatu entiti baru yang berupaya mengurus REE kita seperti PETRONAS menguruskan minyak kita. Kita mahu melahirkan sebuah lagi gergasi korporat dunia seperti PETRONAS di pentas antarabangsa. REENAS adalah jawapannya.

Kita mahu pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama di antara negeri dan negara. Kita mahu hasil REE ini ditadbir dengan lebih kemas, tersusun dan mengikut tatakelola demi kemakmuran bersama. REENAS adalah jawapannya.

Saya fikir ia merupakan satu cadangan yang mesti direalisasikan demi masa depan anak-anak kita. Rugi sekiranya potensi kekayaan hasil daripada REE ini tidak diuruskan dengan cermat. Ia ibarat menyerahkan lubuk emas untuk digali oleh pelombong arang batu. Kuning emas disangka kuning gangsa dan dijual pada harga yang entah apa-apa.

MOHAMAD SIDDIQ AZANI
Peguam – HARAKAHDAILY 7/8/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -