DMPNS serah dua usul penting di Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Delegasi Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) telah mengadakan kunjungan rasmi ke Parlimen bagi menyerahkan dua usul penting yang diluluskan dalam Muktamar Tahunan kali ke-38.

Delegasi itu diketuai Setiausaha DMPNS, Normaziah Khori bersama Pengarah Pilihan Raya DMPNS, Norazlin Md Samsudin serta dua Ahli Jawatankuasa DMPNS, Nor Elina Sharudin dan Norriha Yusof.

Dua usul yang diserahkan ialah usul ‘Mengawal Penjualan Vape Demi Melindungi Masa Depan Generasi Muda” dan usul ‘Memperkasakan Pewartaan Syariah sebagai Undang-undang Persekutuan’.

Bagi usul pertama berhubung isu vape, dokumen diserahkan kepada Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus, supaya dibawa ke perbahasan Dewan Rakyat.

Dalam pertemuan itu, Dr Ahmad Yunus memaklumkan isu berkaitan pengawalan penjualan vape sudah dibincangkan dan akan turut dibawa oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Alias Razak.

Usul berkenaan menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja, terutama pelajar sekolah.

Antara cadangan terkandung termasuk pengharaman premis vape berhampiran sekolah serta larangan pengiklanan produk berkenaan, mengambil contoh Kerajaan Terengganu yang menguatkuasakan larangan penuh bermula Ogos 2025.

Sementara itu, usul kedua diserahkan kepada Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor.

- Advertisement -

Turut meraikan kunjungan delegasi ialah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Yusof serta Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi juga Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Usul itu menggesa supaya pewartaan syariah diberikan ruang lebih luas dalam kerangka undang-undang negara dengan memperluas bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Ia serta menjadikan undang-undang syariah sebagai undang-undang negeri dan Persekutuan secara menyeluruh, selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Delegasi turut mengambil peluang memberi taklimat serta berdiskusi bersama Ahli Parlimen yang hadir bagi memperjelaskan justifikasi usul serta keperluan mendesak pelaksanaan undang-undang syariah secara menyeluruh.

Langkah itu dilihat penting bagi menyelamatkan generasi akan datang daripada ancaman sekularisme dan liberalisme.

DMPNS turut menzahirkan harapan agar kedua-dua usul terbabit diberi perhatian serius oleh kerajaan dan Ahli Parlimen demi melindungi jati diri anak muda serta memperkasa syariah sebagai tonggak perundangan negara.

Usaha itu mencerminkan komitmen Dewan Muslimat PAS untuk terus menjadi suara pembela ummah serta ejen perubahan di peringkat nasional. – HARAKAHDAILY 7/8/2025

- Advertisement -