
KUALA LUMPUR: Malaysia digesa memperkukuh kedudukan di peringkat antarabangsa dengan membentuk pakatan strategik baharu bersama negara-negara Selatan bagi menekan Israel menghentikan tindakan genosid ke atas rakyat Gaza dan membolehkan bantuan kemanusiaan segera disalurkan.
Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, dunia kini menyaksikan krisis kemanusiaan sangat dahsyat di Gaza, termasuk kebuluran melampau yang menyebabkan penduduk pengsan dan terpaksa merebus kayu untuk dijadikan makanan.
“Rakyat di Gaza kini dalam keadaan sangat terdesak. Laporan oleh IPC menunjukkan berlaku kebuluran melampau dan kematian di mana-mana sahaja. Kematian itu akan lebih dahsyat jika tidak ada bantuan untuk segera masuk daripada agensi-agensi antarabangsa.
“Sudah pastilah Malaysia sebagai kepengerusian ASEAN ini untuk segera membentuk pakatan tanpa berlengah dan begitu jugalah bagaimana Malaysia untuk kita terus menggerakkan rakyat bagi melahirkan rasa solidariti mereka berterusan tanpa kita bertangguh,” katanya dalam soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas pendirian tegas menolak sebarang tekanan untuk menerima Deklarasi New York yang didakwa berat sebelah dan tidak adil kepada perjuangan rakyat Palestin.
“Saya mengucapkan tahniah diatas keputusan tegas Malaysia tidak dengan semudah-mudah menerima Deklarasi New York. Kita menegaskan bahawa HAMAS bukan kumpulan pengganas tetapi adalah benteng kepada rakyat Palestin.
“Mereka dipilih oleh rakyat Gaza secara demokratik dan menjadi pelindung kepada penduduk di Gaza itu sendiri dan mohon untuk Malaysia supaya kekal tegas prinsip ini, tidak kita terburu-buru untuk menerima deklarasi yang sangat berat sebelah itu,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi menyeru seluruh semua pihak untuk menyertai satu himpunan besar solidariti untuk Palestin yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini, 9 Ogos ini, di Dataran Merdeka.
Katanya, himpunan itu dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dengan menjemput penyertaan daripada semua pihak termasuk wakil kerajaan dan pembangkang.
“Saya dimaklumkan satu himpunan besar akan diadakan Sabtu ini di Dataran Merdeka. Semua pihak termasuk ahli-ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang dijemput hadir bagi menunjukkan solidariti seluruh rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, senada dengan pandangan Ahmad Tarmizi sekali gus menyatakan Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin secara prinsip.
“Kita menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan negara yang merdeka. Sokongan kita adalah bersifat berprinsip, bukan kepada mana-mana puak.
“Malaysia menyokong hak rakyat Palestin untuk menubuhkan negara mereka sendiri, yang merdeka, berdaulat, dengan sempadan yang diiktiraf serta Baitulmaqdis sebagai ibu negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2025











