
KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN- Rantau Panjang) menzahirkan kebimbangan berhubung keselamatan dan integriti di pintu sempadan akibat ketiadaan mesin pengimbas kargo serta kewujudan jalan tikus yang dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Isu yang berbangkit adalah apabila tidak ada mesin pengimbas kargo inilah yang diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang tak bertanggungjawab menggunakan kesempatan ini,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau turut menuntut penjelasan berhubung usaha kerajaan dalam mengetatkan keselamatan dan membanteras gejala rasuah yang dikatakan turut melibatkan pegawai penguatkuasa sendiri.
“Soalan saya, apakah penambahbaikan akan dibuat untuk mengetatkan lagi keselamatan di pintu masuk supaya tidak berlaku lagi penyeludupan senjata dan barangan-barangan yang terlarang sepanjang jalan-jalan tikus yang ada di sepanjang Rantau Panjang?
“Apakah usaha dalam mengatasi masalah rasuah sebab saya mendapat maklum ada di kalangan pegawai yang menerima rasuah secara bulanan, minta penjelasan,” katanya lagi.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya amat serius dan komited untuk memastikan keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) serta seluruh sempadan negara berada pada tahap terbaik.
“Saya nak sebut sini apa kawalan ada keselamatan di sempadan sepanjang negara jiran dilaksanakan oleh beberapa agensi, iaitu bagi sempadan darat termasuk tidak termasuk pintu-pintu masuk negara ini dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Briged Tenggara dan oleh Angkatan Tentera Malaysia.
“Bagi sempadan laut pula, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PDRM) merupakan pihak yang bertanggungjawab ke atas sektor ini dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) pula bertanggungjawab di atas pengurusan keselamatan di pintu masuk negara yang diwartakan,” jelasnya.
Sementara itu, dalam menangani isu integriti dan rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa, Shamsul Anuar berkata kerajaan telah mengambil langkah tegas termasuk meminimumkan interaksi manusia di pintu masuk.
Pada soalan asal, Siti Zailah meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan perancangan Kementerian dalam menambah baik penggunaan sistem pengimbas X-Ray dan pengesan dadah di pintu sempadan Rantau Panjang bagi membanteras sindiket penyeludupan. – HARAKAHDAILY 7/8/2025











