
KUALA LUMPUR: Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) menyuarakan kebimbangan terhadap risiko hutang daripada kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), khususnya dalam kalangan generasi muda termasuk mahasiswa, graduan serta ibu bapa muda berusia 20-an dan 30-an.
Beliau berkata, walaupun kerajaan menyatakan hutang BNPL masih terkawal, penetapan parameter bagi menentukan tahap ‘tidak terkawal’ wajar diperjelaskan, memandangkan kemudahan itu kini digunakan untuk keperluan asas.
“Kita sedia maklum, maklum balas di luar sangat pelbagai selepas Akta Kawalan Kredit diluluskan. Ada yang minta kerajaan kenakan kawalan yang lebih ketat,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kewangan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Mohd Syahir turut membangkitkan persoalan berhubung garis panduan digunakan kerajaan dalam menentukan tahap bahaya hutang BNPL, memandangkan penggunaannya kini tidak lagi terhad kepada pembelian barangan mewah.
“Jadi soalan saya, bilakah hutang ini dikira sudah tidak terkawal? Apakah parameter yang digunakan itu, sedangkan kita tahu kemudahan BNPL hari ini bukan lagi digunakan untuk barangan mewah tetapi untuk keperluan asas seperti makanan dan bil harian,” soalnya.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dalam jawapannya berkata, jumlah baki pinjaman BNPL setakat 30 Jun ialah RM3.8 bilion, hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah.
Menurutnya, kerajaan menekankan kepentingan literasi kewangan dan akan mengawal selia industri melalui Suruhanjaya Kredit Pengguna bagi memastikan etika peminjaman dipatuhi.
Syahir dalam soalan asalnya meminta Menteri Kewangan menyatakan kedudukan terkini hutang beli dahulu bayar kemudian (BNPL) dalam negara dan apakah usaha Kerajaan untuk mengawal risiko keberhutangan yang berlebihan kepada segmen belia di bawah umur 30 tahun. – HARAKAHDAILY 7/8/2025











