Kecewa RMK13, gagal atasi kelemahan lalu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai mengecewakan dan gagal mengambil peluang memperbetulkan kelemahan pelaksanaan dalam rancangan-rancangan sebelum ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, RMK13 sepatutnya menjadi ruang untuk merangka hala tuju pembangunan negara secara menyeluruh dan tersusun, namun perancangan kali ini dilihat bercampur aduk serta tidak memberi keutamaan kepada isu-isu asas yang masih belum diselesaikan.

“Secara ‘detail’ saya akan bahaskan RMK13 pada minggu hadapan di Dewan Rakyat, tetapi secara umum saya boleh katakan ia agak mengecewakan, walaupun perkataan itu agak pedas.

“Kerajaan Persekutuan telah melepaskan peluang untuk membetulkan kelemahan dalam pelaksanaan RMK sebelum ini, termasuklah mengatasi masalah pelaksanaan dalam RMK yang sebelum pada ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri, di Wisma Darul Iman, semalam.

Beliau turut mempersoalkan pendekatan perancangan RMK13 yang dilihat bercampur dengan pembentangan projek-projek seperti mana yang lazimnya diumumkan dalam Bajet tahunan.

“Kita sudah tahu perbezaan antara Bajet dan Rancangan Malaysia. Sepatutnya RMK mempunyai fungsi dan tumpuan yang tersendiri,” katanya.

Ahmad Samsuri turut membangkitkan beberapa projek besar yang sebelum ini pernah dirunding dan mendapat persetujuan awal, namun masih tidak diumumkan dalam RMK13.

“Antaranya projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang melibatkan kos besar, tetapi masih belum dimuktamadkan walaupun telah melalui perbincangan sejak sekian lama,” katanya.

Katanya lagi, wujud ketidakseimbangan ketara melalui projek-projek mega yang terus disalurkan ke negeri-negeri di Pantai Barat seperti Pulau Pinang, berbanding keperluan mendesak di negeri-negeri Pantai Timur.

“Saya tidak ada masalah dengan negeri lain seperti Pulau Pinang kerana mereka juga rakyat Malaysia dan berhak menerima projek pembangunan.

“Namun tidak ada keseimbangan antara negeri yang infrastrukturnya begitu lengkap berbanding dengan negeri di sebelah Pantai Timur ini.

“Jadi saya rasa itu ada sedikit ketidakseimbangan sedangkan apa yang diperjuangkan oleh kami dahulu ialah untuk ‘perkongsian kemakmuran’ di kalangan rakyat seluruh negara supaya tidak ada negeri-negeri ataupun kalangan rakyat yang tertinggal,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2025

- Advertisement -