Portal Jodoh Darul Iman tangani isu lambat kahwin

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu melancarkan Portal Jodoh Darul Iman (PJDI) sebagai inisiatif membantu golongan bujang dan ibu atau bapa tunggal mencari pasangan hidup secara dalam talian dengan kaedah selamat dan mematuhi syariah.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani isu kelewatan perkahwinan dalam kalangan muda-mudi serta membentuk institusi kekeluargaan yang kukuh dalam kalangan rakyat negeri ini.

Beliau berkata, PJDI bukan sahaja berfungsi sebagai platform pencarian jodoh, malah menyediakan bimbingan, panduan dan sokongan kepada pasangan yang sedang menjalani proses taaruf.

“Usaha ini diharap dapat meningkatkan kadar perkahwinan dalam kalangan rakyat negeri Terengganu, seterusnya meningkatkan kadar kelahiran di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan peluncuran PJDI, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim.

Ahmad Samsuri berkata, walaupun isu perkahwinan dilihat sebagai hal peribadi oleh sesetengah pihak, ia sebenarnya mempunyai kesan langsung terhadap struktur masyarakat, ekonomi dan demografi negara.

“Mungkin setengah pihak beranggapan atau melihat aspek mencari jodoh, mendirikan rumah tangga dan kelahiran, menambah kelahiran di dalam keluarga mereka ini adalah aspek yang sangat kecil. Aspek yang sangat personal, sangat peribadi.

“Tetapi sebenarnya ia berkait dengan pelbagai perkara yang berlaku dalam sesebuah negeri dan sesebuah negara. Kita lihat apa yang telah berlaku kepada negara yang mempunyai penduduk paling ramai dalam dunia, di China.

“Salah satu dasar yang diperkenalkan oleh negara China, Cina satu masa dahulu ialah setiap keluarga mempunyai, hanya boleh ada seorang anak sahaja. Setelah pelaksanaan beberapa tahun yang agak lama juga, mereka sedar bahawa timbul satu masalah baharu dalam negara mereka

“Sehingga dibuat satu polisi yang baharu ini yang ditambah baik dan diberi kebenaran untuk tambah daripada satu kepada dua. Semasa mereka memperkenalkan dasar ‘one child, one family’ itu, mungkin mereka tidak terbayang akan kesan yang boleh berlaku dengan mengubah fitrah yang telah ditentukan oleh Allah SWT ini.

“Hasil daripada pelaksanaan ‘one child one family’ ini menyebabkan berlaku ‘generation gap’ dalam keluarga, dalam kependudukan di China. Bayangkan apabila sesebuah keluarga itu yang ada ibu dan bapa hanya ada seorang anak.

“Satu-satu masa dan anak ini, oleh kerana sifat ketimuran yang ada di negeri sebelah kita ini sehinggalah sampai ke Jepun, termasuklah China, agak kebiasaan sebenarnya untuk anak akan menjaga orang tua dia. Tapi apabila tinggal seorang, seorang kena jaga keluarga.

“(Jadi) tidak ada yang boleh keluar untuk mencari kerja apabila ibu dan bapa mereka ini telah tua. Menyebabkan berlaku gap tenaga kerja yang agak serius di China pada waktu itu sehinggalah mereka terpaksa mengubah kembali supaya dibuka kepada ‘two child per family’,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, perkembangan dalam kalangan muda-mudi yang memilih untuk lambat berkahwin atau tidak mahu berkahwin dan tidak mahu mempunyai anak juga semakin membimbangkan.

Beliau berkongsi perbualan bersama mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini, yang turut menyuarakan kebimbangan berkenaan isu itu sebagai ancaman kepada kesinambungan masyarakat.

“Perkara pertama yang ditanya oleh Tun dan disebut oleh Tun kepada saya ialah kebimbangan beliau mengenai ‘trend’ semasa ini, di mana golongan muda-mudi, anak-anak belia yang ada sekarang ini termasuk orang Melayu sendiri, orang Cina dan lain-lain,

“’Trend’ lambat kahwin, tak mahu kahwin, dan kalau kahwin tak nak anak. Atas alasan, atas pelbagai alasanlah dan ‘trend’ itu ada yang menyebut kerana mereka nak ‘enjoy’ dahulu, nak ‘travel’ ke sana ke mari dahulu.

“Lambat mendirikan keluarga dan kalau diri keluarga pun ada yang buat syarat tak nak anak. Jadi sebenarnya pemerhatian dari mantan Perdana Menteri itu juga sebenarnya perkara yang sedang berlaku dalam negara kita.

“Mungkin kita di peringkat negeri Terengganu ini tak menular lagi perkara yang demikian tapi sudah menjadi satu trend yang agak boleh diterima di kalangan muda-mudi.

“Sekali lagi perkara-perkara sebegini mungkin kita, setengah orang beranggapan dia lihat itu merupakan satu perkara yang unit yang kecil dalam masyarakat, keluarga. Kalau tak nak berkahwin apa nak boleh buat.

“Tetapi kalau lihat dalam tempoh, perkara ini berlaku dalam satu tempoh yang tertentu, lima tahun, 10 tahun, ianya akan mendatangkan pelbagai kesan yang besar dalam negara kita ini termasuklah kesan demografi, kesan sosial.

“Tak dapat kita bayangkan sebagaimana berlaku di negara-negara Barat dan kesan kepada keberadaan sesebuah keluarga itu sendiri yang tidak, tidak ada pewaris dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, usaha memperkenalkan PJDI merupakan langkah awal dalam bidang kuasa kerajaan negeri, namun keberkesanan inisiatif itu bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Sebenarnya kalau kita tengok secara keseluruhan, usaha kita ini adalah untuk membantu menyelesaikan, untuk mengelakkan masalah yang lebih besar melanda dalam negeri dan dalam negara kita ini.

“Jadi usaha ini adalah merupakan satu usaha yang, yang boleh dibuat dalam lingkungan bidang kuasa yang kita ada. Selebihnya kita mohon kepada semua mereka di luar sana supaya turut menyahut seruan daripada kita ini.

“Kerana kita kena lihat ‘a big picture’, satu agenda yang lebih besar untuk memastikan kelangsungan kependudukan dalam negeri dan dalam negara kita ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2025

- Advertisement -