RUU355: Kerajaan digesa bentang semula di Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Abd Ghani Ahmad (PN–Jerlun) menggesa kerajaan menyemak semula kedudukan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil serta membentangkan semula Rang Undang-undang (RUU) 355 yang tertangguh sebelum ini.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengasingan bidang kuasa kedua-dua mahkamah dihormati dan tidak berlaku sebarang campur tangan, selaras dengan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan Perkara 121(1A) sudah jelas menunjukkan pengasingan bidang kuasa dan kedua-dua mahkamah perlu menghormati bidang kuasa masing-masing serta tidak boleh campur tangan.

“Namun mutakhir ini, jelas wujud campur tangan Mahkamah Sivil terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti dalam kes pengislaman anak selepas pasangan memeluk Islam seperti kes Loh Siew Hong dan Indira Gandhi.

“Begitu juga pembatalan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 serta isu Sisters In Islam (SIS). (Ia) berkaitan fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan SIS adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam,” ujarnya ketika

Justeru, beliau mempersoalkan status terkini Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam yang diketuai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Saya mencadangkan agar kerajaan menyemak semula Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan frasa ‘bahawa sebarang keputusan Mahkamah Syariah adalah muktamad dalam hal berkaitan orang Islam dan tanpa sebarang semakan oleh Mahkamah Sivil’,” cadangnya.

Berucap membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini hari ini, beliau turut mencadangkan agar kerajaan membentangkan semula RUU 355 dengan meletakkan hukuman setaraf Mahkamah Sivil.

“RUU 355 ini telah diluluskan oleh Kabinet di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi tidak sempat dibentangkan di Parlimen akibat pembubaran Parlimen pada Oktober 2022 lalu.

“Saya pohon sambung sahaja kerja-kerja teknikal yang masih berbaki untuk membolehkan RUU 355 dibentangkan semula di Parlimen,” gesanya.

Dalam masa sama, beliau menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Syariah Malaysia kerana dilihat mampu menambah baik aspek pelantikan hakim, etika, saraan dan sebagainya.

Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan berkaitan pelaksanaan sistem kehakiman syariah seperti sistem e-Filing yang belum terlaksana walaupun sistemnya sudah dibangunkan.

“Lafaz wakalah mesti di hadapan Mahkamah atau Pendaftar. Perkara ini perlu dipinda dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri-negeri dengan memasukkan wakalah boleh dibuat secara dalam talian _‘online’_ seperti dilakukan di Selangor dan Wilayah Persekutuan,” terangnya.

Tambah beliau, isu utama yang timbul ialah Hal Ehwal Islam dan Mahkamah Syariah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Raja atau Sultan selaku Ketua Agama Islam.

“Apakah langkah yang membenarkan suruhanjaya ini boleh dilaksanakan dalam keadaan Hal Ehwal Islam di bawah Kerajaan Negeri? Adakah ia hanya merujuk kepada negeri-negeri yang Agama Islam di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong?” soalnya.

Dalam penutup perbahasannya, beliau turut menitipkan tiga pesanan berhubung pelaksanaan RMK13.

“Kalau nak lihat RMK13 ini berjalan lancar, terlaksana dengan cekap dan projek pembangunan memenuhi kehendak rakyat, maka,

“Pertama, hormatilah kami sebagai Ahli Parlimen Pembangkang dan berilah hak serta peruntukan kepada kami kerana kita semua adalah serupa, diangkat oleh rakyat sebagai Ahli Parlimen.

“Kedua, hormatilah empat buah negeri di bawah Perikatan Nasional untuk mendapat hak dan peruntukan pembangunan yang sama dengan negeri-negeri lain, dan jangan anggap empat negeri ini tidak maju atau mundur hanya disebabkan wujud diskriminasi.

“Ketiga, hormatilah hak rakyat yang memilih wakil rakyat mereka, sama ada Kerajaan atau Pembangkang kerana tanpa rakyat, tiada wakil rakyat, tiada cukai daripada rakyat dan tiada pembangunan untuk kerajaan buat pembangunan untuk rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -