
KUALA LUMPUR: Gelaran ‘mambar’ mencetuskan pertikaman lidah antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam sesi persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, di sini hari ini.
Kekecohan bermula apabila Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) menggunakan perkataan ‘mambar’ semasa mengulas kedudukan enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Menurut Rosol, istilah itu membawa maksud tidak berapa keras atau kurang keras, namun ia mencetuskan bantahan daripada RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bangun mencelah dan menyifatkannya sebagai tidak sopan serta tidak wajar digunakan dalam Dewan Rakyat.
“Saya nak rujuk kenyataan dikeluarkan Hulu Terengganu yang merujuk enam Ahli Parlimen itu sebagai ‘mambar’ atau halus atau tidak keras. Itu adalah perkataan yang kurang sopan,” katanya.
Rosol bagaimanapun membalas bahawa Rayer terlalu sensitif dan tidak memahami maksud sebenar perkataan tersebut, namun Rayer membalas dengan menyoal Rosol sama ada beliau sendiri boleh menerima jika gelaran itu ditujukan kepadanya.
“Kalau saya kata Hulu Terengganu ‘mambar’, tak keras, boleh terima?” soal Rayer dan situasi makin tegang apabila Chong Zhemin (PH-Kampar) bangun mempertikaikan Rosol dan mendakwa beliau telah menggunakan gelaran ‘mambang’ terhadap enam Ahli Parlimen itu.
Chong mendesak agar Rosol menarik balik kenyataan tersebut kerana dianggap sebagai satu sindiran.
“Ini sindiran halus, semua orang faham, jangan pakai perkataan tersebut. Sila tarik balik perkataan ‘mambang’, it’s unparliamentary,” katanya merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36(4).
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ekoran kekecohan itu terpaksa campur tangan dengan meminta semua Ahli Parlimen yang terlibat supaya duduk dan menghentikan pertikaman lidah.
Johari mengakui bahawa beliau sendiri tidak memahami maksud perkataan ‘mambar’ dan atas sebab itu tidak menganggap ia sebagai satu kenyataan yang tidak berparlimen.
Namun, beliau menegaskan agar Rosol tidak lagi menggunakan perkataan tersebut dalam sesi Dewan.
“Pertama, saya sendiri tak faham apa ini ‘mambar’. Kedua, saya tak tahu keras atau tak, jadi saya anggap itu bukan ‘unparliamentary’ selagi saya tak faham.
“Jadi jangan guna lagi perkataan itu sebab saya pun tak faham. Hulu Terengganu tolong, mungkin di kawasan YB (Yang Berhormat) faham, tapi bukan di sini (Dewan Rakyat),” tegasnya. – HARAKAHDAILY 6/8/2025











