Kerajaan digesa ubah reka bentuk ekonomi negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berani melakukan perubahan besar terhadap reka bentuk ekonomi negara yang dilihat terlalu berpusat hingga mengekang pembangunan di negeri-negeri luar bandar.

- Advertisement -

Dato’ Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berkata sistem federalisme yang diamalkan ketika ini menyumbang kepada pertumbuhan tidak seimbang, terutama di negeri seperti Kelantan dan Terengganu.

“Akibatnya negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu berdepan pertumbuhan yang perlahan dan tertumpu kepada sektor berintensif kampung, buruh. Fenomena penghijrahan rakyat ke Kuala Lumpur pula menyebabkan negeri-negeri ini kehilangan tenaga kerja produktif sekali gus menyempitkan lagi peluang untuk berkembang.

“Eksekutif yang terlibat dalam petroleum baik dari segi cari gali ‘down stream’ dan sebagainya sepatutnya berbangga mencari kerja di negeri-negeri mereka di mana dikeluarkan hasil ini tidak perlu berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Sudah tiba masanya kita ubah kitaran yang menghalang ini kerajaan hendaklah berani melakukan anjakan besar di dalam bentuk ‘design’ ekonomi negara.

“Kalau suatu ketika dahulu kerajaan berjaya memindahkan ekosistem pentadbiran negara ke Putrajaya mengapa tidak sekarang kita fikirkan langkah seperti memindahkan urus tadbir yang berkaitan dengan sumber hasil mahsul ini kepada ke negeri?

“(Iaitu) di mana-mana di mana hasil ini dikeluarkan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata, dasar pemusatan pentadbiran dan pembangunan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang telah melebarkan jurang pembangunan antara negeri.

“Minyak, sawit, getah semuanya diuruskan dari Kuala Lumpur. Pelaburan, infrastruktur, peluang pekerjaan dan firma utama juga tertumpu di Lembah Klang, sementara negeri pengeluar sumber kekal sebagai tapak hasil mahsul dikeluarkan tidak menikmati limpahan ekonomi sebenar.

“Sebagai contoh hasil petroleum dan gas datang daripada negeri seperti Terengganu tetapi syarikat-syarikat yang beroperasi menuai hasil dan sebagainya membina gedung-gedung mereka di Kuala Lumpur membayar cukai pendapatan mereka di mana didaftarkan di Kuala Lumpur.

“Jadi berbanggalah di Lembah Klang beritahu kita sumbang cukai dalam bentuk yang besar dan sebagainya sedangkan hasil mahsul dikeluarkan daripada Terengganu,” katanya.

Ahmad Amzad turut menyuarakan kebimbangan mengenai kurangnya peluang pekerjaan berkaitan sektor petroleum di Terengganu, meskipun ramai anak muda tempatan yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan petroleum.

“Pelajar tinggi-tinggi cemerlang di dalam pelajaran daripada Terengganu dan Kelantan belajar ‘engineering’ dan sebagainya tiada peluang pekerjaan di Terengganu kerana semuanya di Kuala Lumpur,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2025

- Advertisement -