
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan mempengerusi satu sesi pembentangan berkaitan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Pertemuan yang diadakan di Bangunan Mabna Membangun Bersama Islam (MBI) di sini semalam turut melibatkan syarikat konsesi dan agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Kerajaan negeri juga kata beliau, menggunakan pendekatan kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman (SWOT) dalam meneliti cadangan dan inisiatif dikemukakan syarikat dan agensi berkenaan.
“Saya meneliti dan menganalisis pembentangan secara menyeluruh melalui pendekatan SWOT bagi memastikan model yang dikemukakan benar-benar berdaya saing, berkesan dan menepati aspirasi negeri.
“Saya tegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang cadangan yang hanya bersifat kosmetik atau melepas batuk di tangga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Hadir dalam sesi pembentangan itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah dan Timbalannya, Dato’ Ustaz Abdul Rahman Yunus.
Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan berkata, pelaksanaan akta itu mesti menepati maksud sebenar kebersihan, pengurusan cekap dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Kerajaan negeri katanya, mengharapkan komitmen dan pelaksanaan menyeluruh, bukan sekadar janji terkandung dalam peraturan itu sebaliknya memastikan perkhidmatan memberi manfaat besar.
Sebelum ini kerajaan negeri secara dasar setuju untuk membuka semula pintu rundingan selepas perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang Mac tahun ini.
Tujuh negeri mengguna pakai akta iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Kuala Lumpur sementara lima belum menerima Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Selangor dan Kelantan. – HARAKAHDAILY 1/7/2025




















