
KUALA TERENGGANU: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluaskan mulai hari ini disifatkan sebagai permulaan era baharu cukai di bawah Kerajaan Madani, yang dijangka meningkatkan beban kos sara hidup rakyat.
Pengerusi BERSATU Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, gelaran ‘Mr Cukai’ yang diberikan kepada Perdana Menteri oleh netizen menggambarkan keresahan rakyat terhadap dasar percukaian baharu yang diumumkan kerajaan.
Menurut beliau, pengenalan SST itu menambah kebimbangan rakyat apabila lebih banyak barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai, termasuk sektor logistik, makanan, pembaikan kenderaan, elektrik, petrol, langganan digital dan penjagaan diri.
“Rakyat jelata sebenarnya gelisah, bimbang dan sangsi. Kenapa tidaknya, kalau dahulu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti efektif, tetapi memandai-mandai memansuhkan.
“Bayangkan sepanjang 3 tahun pertama pelaksanaan GST, ia telah menjana RM153.9 bilion dengan purata tahunan RM60 bilion. Pada tempoh 2015 hingga 2025, negara menerusi GST berpotensi mengutip sekitar RM514 bilion hasil cukai.
“Sekarang beria-ria Kerajaan Madani hendak melaksanakan cukai SST, selepas penuh bangga berjaya memansuhkan GST,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, agak menarik, ahli ekonomi, sarjana akademik, malahan pegawai kanan kementerian mempertahankan bersungguh-sungguh akan pelaksanaan SST yang dijangka menyumbang kutipan RM5 bilion pada 2025 dan RM10 bilion pada 2026.
“GST pun purata tahunan RM60 bilion, sedangkan SST hanyalah RM5 bilion atau RM10 billion,” jelas Datuk Razali yang juga Ahli Majlis Mesyurat Kerajaan Negeri Terengganu.
Sementara itu beliau berkata, rakyat yang kini berdepan kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara mendadak memberi kesan langsung kepada kuasa beli, terutamanya golongan M40 yang tidak menerima bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Kuasa beli merosot, pendapatan tetap, tetapi perbelanjaan meningkat. Golongan M40 yang tiada bantuan tunai seperti STR akan paling terasa tekanan. Rakyat mungkin kurangkan makan di luar, hiburan, dan aktiviti sosial sekali gus memberi kesan kepada peniaga kecil,” katanya.
Tambahnya lagi, tekanan kewangan berterusan boleh menjejaskan kesihatan mental rakyat, khususnya dalam kalangan pekerja bandar dan ibu bapa yang terpaksa mengurus perbelanjaan harian dengan lebih ketat.
“Tekanan kewangan menjejaskan kesihatan mental, terutama ibu bapa dan pekerja bandar. Ketidakpastian ekonomi boleh menimbulkan keresahan sosial dan menjejaskan sokongan kepada dasar kerajaan.
“Manakala kesan kepada golongan rentan, B40, walaupun menerima bantuan tunai, mereka masih terdedah kepada inflasi makanan, sewa dan pengangkutan,” ujarnya.
Golongan pesara yang tidak mempunyai pendapatan aktif katanya, turut berisiko terjejas akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
“Apabila rakyat mengurangkan perbelanjaan, pusingan ekonomi melambat, peruncit, restoran, perkhidmatan harian akan alami penurunan jualan serta risiko pengangguran atau pengurangan pekerja sambilan meningkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2025











