Majoriti netizen kecewa kenaikan tarif elektrik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Data diperoleh QGenAnalysts mendapati majoriti netizen menunjukkan sentimen negatif terhadap kerajaan susulan pengumuman kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.

QGenAnalysts melaporkan bahawa, dapatan bancian digital menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), lebih 32,000 komen netizen direkodkan mengenai isu itu, dengan 64 peratus daripadanya datang dari TikTok, diikuti Facebook (20 peratus) dan X (14 peratus).

- Advertisement -

“Di TikTok dan Facebook, sebanyak 90 peratus komen menunjukkan negatif (kecaman) terhadap kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala di platform X, 50 peratus komen menunjukkan kecenderungan negatif yang sama,” menurut QGenAnalysts dalam kenyataannya hari ini.

Mereka menjelaskan bahawa analisis data turut menunjukkan prestasi ‘engagement’ tertinggi dicatat Astro Awani di Facebook dengan 14,000 interaksi, manakala laman eNews merekodkan jumlah komen tertinggi di platform itu.

Menurutnya, video oleh Financial Faiz di TikTok mencuri perhatian dengan mencatat 120,000 ‘engagement’, manakala ciapan daripada @Marchforward di X menjadi paling menonjol dengan 4,300 ‘engagement’.

QGenAnalysts turut memaklumkan bahawa perbincangan netizen di ketiga-tiga platform memberi fokus kepada kekecewaan terhadap kerajaan yang dilihat menyusahkan rakyat.

“Ramai (netizen) mengingatkan semula janji-janji terdahulu kerajaan untuk memanggil TNB berbincang mengenai penurunan tarif, namun yang berlaku sebaliknya.

“Netizen turut meluahkan kebimbangan bahawa kenaikan tarif elektrik ini pasti akan memberi kesan domino terhadap harga barang keperluan harian,” menurut laporan QGenAnalysts itu lagi.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata pelaksanaan tarif baharu itu adalah bukti komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi besar sektor tenaga negara. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -