SST beban berat, kelam buat wanita, peniaga kecil

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula hari ini disambut dalam suasana kelam oleh ramai wanita di Kelantan yang berdepan kesan langsung terhadap perbelanjaan harian dan perniagaan kecil mereka.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, SST bukan sekadar isu dasar fiskal di atas kertas, sebaliknya memberi kesan mendalam kepada wanita sebagai pengurus ekonomi keluarga dan peniaga mikro.

Katanya, ramai ibu dan isteri di negeri ini yang kini bergelut menyusun semula bajet dapur, perbelanjaan anak-anak dan kelangsungan perniagaan kecil di tengah-tengah kenaikan harga barangan.

“Ramai wanita kini mengeluh kerana perlu potong belanja dapur, berjimat lebih daripada biasa, malah ada yang terpaksa hadkan keperluan anak-anak hanya untuk pastikan duit cukup sampai hujung bulan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa golongan wanita bukan sekadar penerima kesan, tetapi juga pemain utama dalam ekonomi asas, sama ada sebagai peniaga makanan, tukang jahit dari rumah, atau pengusaha kedai runcit warisan keluarga.

Pelaksanaan SST dilihat bakal meningkatkan kos bahan mentah dan menjejaskan margin keuntungan peniaga kecil, sekali gus mengundang tekanan emosi kepada wanita yang menjadi tulang belakang keluarga.

“Ini bukan soal angka semata. SST menyentuh terus harga barang dapur, menyentuh untung rugi perniagaan kecil, dan menyentuh keluh-kesah para wanita yang saban hari berjuang untuk keluarga mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru agar suara wanita dan golongan berpendapatan rendah tidak dipinggirkan dalam proses pembuatan dasar negara.

Dewan Muslimat PAS Kelantan menggesa agar kerajaan memperkukuh dasar bantuan bersasar, subsidi kecil dan sokongan kepada peniaga mikro sebagai langkah mitigasi.

“Wanita Islam tidak meminta kemewahan, hanya ruang untuk hidup bermaruah,” ujar beliau, sambil menyeru agar tahun baharu Hijrah ini menjadi titik perubahan kepada dasar yang lebih adil, berhikmah dan penuh belas ehsan kepada rakyat marhaen. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -