‘Apa saya dengar tak sama apa yang saya lihat’ – LKY

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah mendedahkan satu peristiwa bersejarah membabitkan pertemuan mendiang Lee Kuan Yew dengan bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

- Advertisement -

Menurut beliau, pertemuan itu berlangsung dengan penuh tertib dan adab, menyaksikan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) sendiri menyatakan kekagumannya terhadap suasana pentadbiran Islam di Kelantan.

“Saya sendiri berada di sisi Tok Guru ketika pertemuan itu berlangsung. Dengan penuh tertib, Tok Guru memulakan bicara dengan bertanya, ‘Apa sebab Mr Lee datang ke Kelantan?’

“Lee Kuan Yew menjawab dengan tenang dan jujur, ‘Saya mahu melihat sendiri apa yang ada di Kelantan setelah saya mendengar banyak cerita’,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Tambah beliau, Lee Kuan Yew tidak mahu bergantung kepada laporan orang lain, sebaliknya mahu menyaksikan sendiri suasana sebenar pentadbiran Islam di Kelantan.

“Tok Guru kemudian bertanya lagi, ‘Setelah Mr Lee datang ke Kelantan, apa yang Mr Lee dapati?’ Jawapan Lee Kuan Yew amat ringkas, tetapi memberi kesan mendalam. Katanya, ‘Apa yang saya dengar tidak sama dengan apa yang saya lihat’,” ceritanya.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai satu pengakuan besar daripada seorang tokoh dunia, yang menafikan banyak tanggapan luar terhadap Kelantan.

Namun, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu, kenyataan itu tidak pernah dijadikan rujukan atau diangkat dalam wacana nasional.

“Namun sayangnya, kata-kata ini tidak pernah dijadikan rujukan. Tidak disambut oleh media, tidak diangkat dalam wacana nasional. Saya sendiri tidak tahu mengapa. Tetapi ia berlaku di depan mata saya,” katanya.

Menceritakan detik akhir pertemuan itu, beliau berkata Lee Kuan Yew mengajukan satu soalan penting kepada Tok Guru, ‘Nik Aziz, kalau PAS boleh memerintah Malaysia, apa pendirian PAS dan sikap PAS terhadap orang Cina dan terhadap Singapura?’

Beliau mengakui soalan itu berat dan bukan mudah untuk dijawab secara spontan, tetapi Tok Guru tetap tenang, dengan wajah yang damai dan suara lembut namun tegas.

“Beliau menjawab, ‘Mr Lee, kalau kita boleh memerintah, pendirian kita terhadap orang Cina dan terhadap Singapura sama seperti yang kita lakukan di Kelantan.’ Tiada beza. Tiada diskriminasi. Tiada kebimbangan,” ceritanya lagi.

Beliau menegaskan, itulah wajah sebenar Islam yang dibawa oleh Tok Guru iaitu terbuka, adil dan konsisten dengan prinsip serta menjadikan Kelantan sebagai cerminan pentadbiran Islam menghormati hak semua.

“Mendengar jawapan itu, Lee Kuan Yew mengangguk perlahan, lalu berkata, ‘Saya puas hati.’ Itulah detik yang tidak pernah saya lupakan. Bukan kerana kemegahan, tetapi kerana keindahan adab dalam pertemuan dua tokoh besar,” jelasnya.

Tambah beliau, dasar yang dibawa oleh Tok Guru kekal utuh hingga ke hari ini di mana Kelantan tetap berdiri dengan wajah yang sama, tidak tunduk pada tekanan, tidak berubah haluan hanya kerana mahu mencari sokongan.

“Dasar Islam yang diperjuangkan oleh Tok Guru terus hidup, dan kami tetap melangkah di atas landasan itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -