Kota Madani: Projek elitis tatkala rakyat terdesak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan rasa dukacita dan kekesalan terhadap keputusan kerajaan meneruskan projek mega Kota Madani bernilai RM4 bilion ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin membebankan.

Ketuanya, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, walaupun angka rasmi yang diumumkan adalah RM4 bilion, pelbagai indikator menunjukkan bahawa projek itu akan menanggung komitmen kewangan jauh lebih besar dalam jangka masa panjang.

- Advertisement -

“Berkemungkinan mencecah RM12 bilion ke RM14 bilion sekiranya menggunakan model Pembiayaan Inisiatif Swasta (PFI) yang telah lama dikritik kerana menyembunyikan beban hutang sebenar kerajaan daripada rekod rasmi fiskal negara.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah penglibatan anak syarikat PETRONAS, Putrajaya Holdings, sebagai pemacu utama projek ini. Dalam keadaan keuntungan PETRONAS merosot, pengurangan tenaga kerja, dan tekanan pelaburan dalam sektor ESG (alam sekitar, sosial, tadbir urus).

“Kerajaan sepatutnya melindungi PETRONAS dan mengelakkan syarikat milik negara itu daripada menjadi ‘ATM politik’ bagi menjayakan projek-projek elitis yang tidak memberi pulangan komersial wajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan keutamaan projek mewah itu ketika peruntukan dalam sektor penting seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan makanan dan kebajikan rakyat semakin dikurangkan saban tahun.

“Kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat apakah kos sebenar projek Kota Madani, termasuk komitmen tahunan yang perlu ditanggung dalam tempoh 20–25 tahun akan datang?” soalnya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu turut mengingatkan pihak kerajaan bahawa masa depan negara tidak terletak pada simbol-simbol kebanggaan Perdana Menteri, sebaliknya pada kesejahteraan rakyat marhaen.

Menurut beliau, dalam keadaan defisit fiskal yang melebar dan hutang negara mencecah RM1.3 trilion, adalah tidak wajar untuk kerajaan menambah komitmen baru melalui mekanisme tidak telus dan membebankan generasi akan datang.

“Pemuda PAS Malaysia mendesak kerajaan untuk menangguhkan projek Kota Madani, membentangkan analisis kos-manfaat secara menyeluruh di Parlimen, dan memberi keutamaan kepada projek-projek yang benar-benar menyentuh kepentingan rakyat terbanyak.

“Jika kerajaan terus berdegil, maka jelaslah bahawa agenda sebenar di sebalik Kota Madani ini bukanlah untuk kemajuan rakyat, tetapi demi memenuhi nafsu politik dan legasi individu tertentu,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa projek itu bukan sekadar membina rumah untuk penjawat awam, tetapi menampilkan pendekatan baharu yang mementingkan keselesaan, nilai kemasyarakatan dan kelestarian alam sekitar.

Beliau turut meminta penjawat awam supaya mempertahankan konsep pembangunan Kota Madani yang diperkenalkan itu meskipun berdepan kritikan dan tohmahan daripada pelbagai pihak. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -