
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 sebagai tidak berperlembagaan, sekali gus menghapuskan keperluan memberi notis lima hari kepada pihak berkuasa sebelum perhimpunan aman.
Keputusan bersejarah itu dibuat sebulat suara oleh panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam prosiding terakhir beliau sebelum bersara, di sini hari ini.
Ia susulan cabaran undang-undang yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abdul Hadi terhadap peruntukan berkenaan.
“Mahkamah Persekutuan baru saja membatalkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman yang menjenayahkan kegagalan memberi notis untuk perhimpunan aman,” kata peguam, New Sin Yew dalam kenyataan di platform X.
Amir Hariri dalam kenyataan di akaun rasminya menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan untuk rakyat Malaysia dalam menegakkan hak berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan.
“Alhamdulillah. Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman diputuskan hari ini di Mahkamah Persekutuan, tidak berperlembagaan! Kemenangan buat rakyat untuk berhimpun secara aman!” katanya.
Amir turut merakamkan penghargaan kepada Tun Tengku Maimun atas ketegasan dan kepimpinan dalam mengetuai keputusan penting itu.
Sebelum ini, Amir mencabar kesahihan akta tersebut selepas didakwa gagal memaklumkan pihak polis sebelum menganjurkan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ di hadapan Kompleks Sogo, pada 14 Ogos 2022.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 9(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) APA 2012 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.
Namun Mahkamah Tinggi pada Ogos 2024 membenarkan permohonan Amir untuk merujuk isu perlembagaan berkenaan ke Mahkamah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 1/7/2025











