
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad, Dato’ Ridza Abdoh Salleh menyuarakan kebimbangan terhadap ketepatan dan logik laporan media berhubung insiden letupan gas di Putra Heights baru-baru ini.
Menurut beliau, laporan tersebut sebagaimana disiar media tempatan telah menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding penjelasan, terutama dari segi teknikal dan kejuruteraan.
“Saya membaca laporan tersebut beberapa kali, dan ia masih kedengaran tidak lengkap. Banyak kenyataan yang bercanggah dari segi logik kejuruteraan, hingga membingungkan sesiapa yang faham asas struktur dan paip tekanan tinggi,” katanya.
Antara persoalan yang dibangkitkan termasuk kenyataan bahawa tanah di bawah saluran paip ‘tidak cukup kuat’ untuk menampung beban dan tekanan paip.
Menurut Dato’ Ridza, kenyataan ini seharusnya dikategorikan sebagai kegagalan reka bentuk, dan bukan semata-mata faktor semula jadi.
“Jika tanah itu lemah, mengapa ia tidak dikenal pasti sejak awal? Ini saluran paip bertekanan tinggi, kajian geoteknikal adalah prasyarat,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan bahawa ‘beban kitaran’ menyebabkan kegagalan paip, dan bagaimana kegagalan tersebut dikatakan berpunca daripada kedua-dua keletihan (fatigue failure) dan kegagalan mulur (ductile failure) serentak di lokasi yang sama.
“Paip ini statik. Dari mana datangnya beban kitaran? Adakah berlaku gegaran atau faktor lain? Kegagalan keletihan dan kegagalan mulur tidak lazim berlaku bersama. Ini perlu penjelasan lanjut,” katanya.
Tambah mengejutkan, laporan menyebut tanah mendap sebanyak 24.3 sentimeter (cm) dalam tempoh 25 tahun dan paip berganjak 15.9 cm satu tahap ketepatan yang dipersoal Dato’ Ridza memandangkan kawasan itu telah musnah sepenuhnya akibat letupan.
“Bagaimana pasukan penyiasat boleh menyatakan angka sedemikian tepat hingga ke 0.1 cm, apabila tapak kejadian telah berlubang dan hancur? Ketepatan sebegini amat luar biasa walaupun dalam kajian forensik moden,” katanya lagi.
Beliau juga menolak kaitan antara kepadatan penduduk dan kegagalan struktur paip seperti yang disebut dalam laporan.
“Apa kaitan antara bilangan penduduk dan letupan saluran gas bawah tanah? Ini hanya menimbulkan lebih banyak kekeliruan kepada orang awam,” katanya.
Dato’ Ridza menggesa agar siasatan teknikal yang lebih menyeluruh dan bebas dijalankan, dan hasilnya didedahkan secara telus bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap keselamatan infrastruktur awam tidak terhakis. – HARAKAHDAILY 1/7/2025











