Ladang solar, ZIA model terbaik TBB, kelestarian komuniti

- Advertisement -

PASIR MAS: Ladang Solar Terapung dan Zon Industri Aquakultur (ZIA) di Danau Tok Uban di sini, jadi model terbaik integrasi teknologi hijau, sosio ekonomi dan kelestarian komuniti tempatan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, ladang solar terapung dibina di atas permukaan air memberi perlindungan dan pembiakan lebih baik khususnya ikan air tawar.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan diminta agar meneliti projek di atas tasik seluas 167 ekar itu untuk diperluaskan ke negeri-negeri lain, seterusnya memberi manfaat kepada penduduk sekitar.


“Projek di Danau Tok Uban kini menjadi contoh terbaik mengenai integrasi antara teknologi hijau, kelestarian komuniti dan pemerkasaan ekonomi penduduk tempatan di kawasan ini.

“Semoga usaha seperti ini diperluaskan ke lokasi lain yang berpotensi tinggi di seluruh negara,” katanya dalam satu kemaskini menerusi media sosialnya, Facebook di sini semalam.

Terdahulu Ketua Penerangan PAS Pusat itu menyertai lawatan kerja Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi, Dewan Rakyat ke projek tersebut di Danau Tok Uban.

Rombongan diketuai Ahli Parlimen Tanjung Manis merangkap Pengerusinya, Ir Yusuf Abdul Wahab; Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman dan Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada projek tenaga boleh baharu (TBB) yang dibangunkan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

Selain itu, lawatan turut meninjau kejayaan penternak ikan sangkar di sekitar Danau Tok Uban yang kini diwartakan sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) oleh kerajaan negeri.

Seramai 83 penternak kini mengusahakan lebih 800 petak sangkar sekitar danau tersebut dengan nilai pengeluaran pada tahun lalu, 2024 dianggarkan mencecah 227 tan metrik bernilai RM1.8 juta. – HARAKAHDAILY 30/6/2025

- Advertisement -