
GENCATAN senjata yang dipersetujui antara Israel dan Republik Islam Iran menamatkan perang terbuka kali pertama antara kedua-dua negara yang berlangsung selama dua belas hari.
Israel gagal mencapai objektif yang ditetapkan sama ada yang tersurat mahupun tersirat.
Program nuklear Iran gagal dimusnahkan secara total sebagaimana laporan sulit CIA, bahkan Iran mampu membangunkan kembali program nuklearnya dalam beberapa bulan sahaja.
Manakala objektif tersirat untuk menjatuhkan kerajaan Iran pimpinan Ayatullah Ali Khamenei juga gagal apabila sokongan padu di luar jangka rakyat Iran kepada kerajaan sedia ada.
Amerika Syarikat terdesak menamatkan konflik ini setelah melihat ketidakupayaan Israel menghadapi serangan roket bertali arus oleh Iran.
Terdapat beberapa faktor konflik antara kedua-dua negara ini akan tercetus pada bila-bila masa seterusnya bakal menamatkan gencatan senjata:
Pertama: Peluang terbaik kumpulan ekstrem Zionis Yahudi yang mendokong kerajaan Netanyahu untuk melaksanakan agenda peluasan negara haram Israel mengambil kesempatan kelemahan proksi Iran iaitu HAMAS, Hizbullah dan Jihad Islami.
Kedua: Netanyahu tidak mahu konflik ini terhenti demi untuk menyelamatkan karier politiknya dari ancaman Mahkamah Jenayah Antarabangsa serta isu dalaman israel.
Ketiga: Peluang terbaik Amerika Syarikat untuk menghapuskan Iran yang menjadi ancaman kepada negara haram Israel.
Buat pertama kali dalam sejarah penubuhan negara haram Israel sejak 1948, negara haram ini berada dalam keadaan defensif. Kemarahan masyarakat antarabangsa makin meluas, elemen tentera yang tidak dapat dikalahkan lebur serta moral rakyatnya merudum.
Ia adalah petanda negara yang wujud dengan perampasan tanah rakyat Palestin bakal berkecai pada bila-bila masa.
Menang dan kalah peperangan bukan sahaja diukur dari sudut kekuatan lahiriyyah, apa yang lebih penting ialah keimanan dan iltizam dengan matlamat perjuangan.
“Bebaskan Baitul Maqdis, Merdekakan Palestin”
YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar Negara PAS Pusat
30 Jun 2025 – HARAKAHDAILY 30/6/2025











