
KUALA LUMPUR: Industri buluh negara berpotensi besar untuk dimajukan sebagai sumber pendapatan baharu sektor komoditi menjelang tahun 2030 dengan nilai pasaran global dijangka mencecah USD100 bilion.
Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi Perikatan Nasional, Bakri Jamaluddin berkata, buluh bukan lagi dianggap sebagai ‘wood for the poor’, sebaliknya diiktiraf sebagai ‘wood for the future’ berikutan kepelbagaian produk bernilai tinggi yang boleh dihasilkan daripadanya.
Beliau berkata, Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) telah mengusahakan tanaman buluh seluas kira-kira 15 ekar melibatkan beberapa spesies seperti Buluh Brang, Betung, Madu dan Semeliang.
“Kami berharap agar TDM dapat menjalinkan kerjasama strategik dengan pusat ini dalam usaha membangunkan industri buluh di negeri Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam media sosial miliknya selepas melawat Pusat itu yang terletak di Kampung Teris, Kuala Berang baru-baru ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka itu berkata, antara kegunaan asas buluh termasuk perabot, lantai parket dan bahan binaan.
“Melalui proses ‘pyrolysis’, buluh boleh menghasilkan ‘biochar’ atau arang aktif, cuka kayu, gas hidrogen yang mampu menjana tenaga elektrik hijau dan penyerapan karbon untuk tujuan ‘carbon credit’.
“Selain itu, sifat semula jadi buluh yang sesuai untuk proses ‘gasification’ membolehkannya digunakan dalam penghasilan grafen (graphene) iaitu lapisan karbon tunggal yang sangat bernilai dalam industri digital dan elektronik,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2025











