Tubuh badan pendakwaan bebas diselia Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menggesa supaya ditubuhkan sebuah badan atau suruhanjaya pendakwaan bebas yang eksklusif dan diletakkan di bawah seliaan Dewan Rakyat.

Beliau berkata, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri masing-masing dalam tempoh 24 jam telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan semua pihak berhubung isu pembebasan tanpa dilepaskan (DNAA).

“Perdana Menteri seolah-olah hilang kawalan dan punca apabila melabel pengkritik isu DNAA. Beliau secara sinis menyatakan, Adakah saya perlu jadi diktator kawal hakim-hakim?

“Timbalan Perdana Menteri pula tidak kurang bijaknya, (apabila) menggesa ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di Sabah yang ditahan untuk bersihkan nama di mahkamah, seperti saya dahulu dalam (kes 47 pertuduhan DNAA),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Rafique, masalah yang timbul bukan berpunca daripada sistem kehakiman atau hakim-hakim, tetapi terletak pada pejabat pendakwa raya.

Katanya, punca utama adalah kedudukan Peguam Negara yang juga menjadi peguam kepada Kerajaan dan Eksekutif serta berada di bawah telunjuk pihak yang menasihati pelantikannya.

Justeru katanya, PEJUANG menggesa supaya ditubuhkan segera satu badan atau suruhanjaya pendakwaan yang eksklusif berada di bawah seliaan Dewan Rakyat.

“(Badan ini) Ia mesti dibiayai dari wang cukai rakyat. Mesti mempunyai struktur pentadbiran tersendiri. Pelantikan timbalan-timbalan pendakwa raya pula dilakukan secara serius, memberikan gaji setimpal, peluang kenaikan pangkat atas merit dan prestasi kerja.

“Badan ini mesti diaudit dan dibentangkan di Dewan Rakyat. Perlu dikhususkan juga bajet tahunan mereka dalam Belanjawan,” tegasnya.

Rafique menjelaskan, jawatan ketua kepada badan itu kelak akan dikenali sebagai Peguam Negara yang hanya bertanggungjawab terhadap pendakwaan dan pertuduhan, serta tidak perlu menjawab kepada Perdana Menteri, sebaliknya kepada Parlimen, iaitu rakyat.

Katanya, peranan Penasihat Undang-undang kepada Kabinet dan Kerajaan pula boleh diberikan kepada Peguamcara Negara (Solicitor General).

“Perkara ini boleh dilakukan dan mesti dilakukan . Sudah sekian lama kita memperkatakan keperluan isu ini. Hendak seribu daya. Lagipun majoriti dua pertiga (sudah ada).

“Kalau tidak, selagi itulah rakyat diberi salah maklum oleh perdana menteri dan eksekutif yang berkuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -