Perlis kaji tubuh PBT kedua di Padang Besar

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis sedang menjalankan kajian terperinci untuk menubuhkan Majlis Daerah Padang Besar, sekali gus bakal menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua di negeri ini selepas Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, tempoh kajian tersebut dijangka mengambil masa sekitar empat bulan, sebelum hasilnya dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tindakan selanjutnya.

“Langkah ini diambil selaras dengan perkembangan pesat yang sedang berlaku di kawasan Padang Besar, terutamanya dengan kewujudan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) serta Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Sri Putera, di sini, kelmarin. (Foto atas)

Tambah beliau, pewujudan PBT baharu akan memudahkan pelaksanaan pelbagai urusan pentadbiran dan pembangunan, selain membuka lebih banyak ruang untuk mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

Secara pentadbiran, Majlis Daerah Padang Besar akan merangkumi seluruh kawasan Parlimen Padang Besar, manakala MPK akan terus mentadbir kawasan Kangar dan Arau.

Untuk rekod, MPK yang ditubuhkan pada 1980 kekal menjadi satu-satunya PBT di Perlis selama lebih empat dekad.

Dalam pada itu, Mohd Shukri turut mengulas teguran Raja Perlis yang menzahirkan kebimbangan terhadap budaya ‘Little Napoleon’ dalam pentadbiran MPK.

“Titah baginda adalah satu peringatan penting. Kerajaan negeri mengambil serius teguran tersebut dan akan memastikan pentadbiran lebih cekap, telus serta berintegriti,” jelasnya.

Sebelum ini, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menegur sikap segelintir pegawai yang dilihat mewujudkan birokrasi melampau hingga mencemarkan imej MPK. – HARAKAHDAILY 27/6/2025

- Advertisement -