
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Kelantan mengecam tindakan sombong dan angkuh Amerika Syarikat serta rejim Zionis yang terus menindas rakyat Palestin.
Ketua Pemudanya, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed berkata, solidariti rakyat Malaysia, khususnya umat Islam amat penting dalam menyatakan pendirian tegas terhadap pencerobohan dan penindasan dilakukan ke atas rakyat Palestin.
“Kita berkumpul pada petang ini bagi menyatakan sokongan dan bantahan kita terhadap Amerika Syarikat (AS) dan Zionis yang begitu sombong dan angkuh.
“Mereka bertindak kepada rakyat bumi Palestin, bersepakat untuk menghancurkan umat Islam, tetapi yakinlah dan percayalah bahawa kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT bersama dengan kita.
“Baik kita mempertahankan rakan-rakan kita di bumi Palestin, kita panjatkan doa kepada Allah SWT, salurkan senjata kita bagi menyatakan sokongan terhadap sahabat-sahabat kita bahawa kesombongan AS dan Zionis ini akan dihancurkan oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Himpunan Bantah Serangan Terhadap Iran di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di sini pada Jumaat.
Mohamad Kamal berkata, perjuangan membela Palestin adalah sebahagian daripada misi Islam untuk menegakkan keamanan sejagat.
“Yakinlah dan percaya bahawa perjuangan kita adalah untuk memastikan keamanan dunia ini berasaskan kepada Islam. Islamlah yang akan mentadbir dunia dan waktu yang dijanjikan oleh Allah SWT,” katanya.
Justeru, beliau menyeru seluruh pimpinan masyarakat dan semua penganut agama yang menentang kezaliman serta tidak bersetuju dengan pembunuhan kejam yang dilakukan oleh Zionis-Amerika.
“Bangkit, bantah dan mudah-mudahan sedikit usaha kita ini Allah SWT mengurniakan kestabilan dan kemenangan kepada rakan-rakan kita di bumi Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2025











