RPMM Tok Jembal bantu golongan pendapatan rendah

- Advertisement -

KUALA NERUS: Seramai 142 keluarga dari golongan berpendapatan rendah menerima kunci rumah bagi Projek Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal Sejahtera, semalam.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan golongan berpendapatan rendah tidak tercicir daripada menikmati tempat kediaman selesa, berkualiti dan mampu milik.

“Usaha ini dilaksanakan dengan penuh iltizam walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi dan kos pembinaan. Walaupun tekanan ekonomi global memberi kesan kepada industri pembinaan, kerajaan negeri tetap komited dalam menyediakan rumah yang selesa dan patuh syariah.

“Hari ini kita menyaksikan hasil usaha itu melalui pembinaan sebanyak 160 unit RPMM Tok Jembal Sejahtera di atas tapak seluas 4.20 ekar yang diperuntukkan khas untuk penduduk di Kuala Nerus dan sekitarnya. 

“Projek perumahan ini merupakan cerminan keprihatinan dan keutamaan kerajaan dalam kesejahteraan rakyat dengan pemilikan rumah sendiri,” katanya ketika mewakili Menteri Besar, merasmikan Majlis Penyerahan Kunci RPMM Tok Jembal Sejahtera di Dewan Serbaguna Tok Jembal, di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Wan Adnan Wan Derahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat; ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail serta ADUN Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak.

Untuk rekod, RPMM Tok Jembal Sejahtera terdiri daripada 160 unit rumah dengan keluasan 801.48 kaki persegi bagi setiap unit, lengkap tiga bilik tidur, dua bilik air dan tempat letak kereta berbumbung.

Projek itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk surau, tadika, taska, bilik pengurusan jenazah, taman permainan, gelanggang badminton, dewan terbuka dan enam unit gerai niaga bagi kegunaan komuniti setempat.

Bertemakan ‘Rumah Selesa, Rakyat Sejahtera’, projek berkenaan menelan perbelanjaan sebanyak RM27.9 juta yang memuatkan lima blok bangunan bertingkat empat.

Sebuah pejabat pengurusan juga disediakan bagi memastikan pengurusan penyelenggaraan fasiliti di kawasan perumahan baharu itu berjalan dengan lancar yang turut bertujuan untuk menjamin keselamatan penduduk.

Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam mengingatkan penerima rumah agar memelihara dan menjaga kediaman dengan baik serta mematuhi bayaran bulanan bagi memastikan pengurusan dan penyelenggaraan kawasan dapat dilakukan dengan lancar.

“Saya mewakili kerajaan negeri ingin menyeru kepada semua penerima agar menjaga amanah ini sebaik mungkin, laksanakan tanggungjawab dengan membuat bayaran bulanan secara berdisiplin.

“Insya-Allah jawatankuasa yang menjaga kawasan perumahan ini akan dibentuk dan akan ada bayaran bulanan yang pemilik-pemilik perlu bayar dengan harga yang paling minima demi untuk jaga kebersihan, keharmonian dan keselamatan yang ada dalam kawasan kejiranan kita semua ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2025

- Advertisement -