Kota Madani bayang kegagalan kepimpinan Anwar

Dikaitkan imej negatif, kegagalan dan kesengsaraan rakyat

Tun Faisal Ismail Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan Kota Madani bukanlah simbol kemajuan atau harapan, sebaliknya menjadi bayangan kepada kegagalan kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, penjenamaan ‘Madani’ dilihat negatif oleh rakyat kerana bersifat naratif politik peribadi dan dikaitkan dengan kegagalan serta kesengsaraan.

“Anwar merupakan bekas banduan kesalahan rasuah salah guna kuasa yang pernah dipenjarakan selama enam tahun atas jenayah ini, dan pernah dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan jenayah liwat.

“Anwar juga mempunyai kes mahkamah berkait serangan seksual terhadap seorang lelaki yang masih berjalan. Imej ini bukan sekadar isu politik, ia soal kredibiliti moral dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

“Apabila nama ‘Kota Madani’ diangkat, maka segala rekod peribadi dan kegagalan kepimpinan yang menyelubungi pemimpinnya turut ‘diabadikan’ bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyentuh kegagalan utama Kerajaan Madani yang semakin membebankan rakyat, termasuk kenaikan kos sara hidup tidak terkawal, integriti semakin dipersoalkan dan pelantikan politik bertentangan dengan semangat reformasi.

“Ucapan dan wawancara Perdana Menteri bertali arus, namun perubahan dasar sebenar sangat perlahan dan tidak membuahkan hasil bermakna. Reformasi kekal sebagai retorik. Menteri-menteri kerap membuat kenyataan bercanggah.

“Janji menghapuskan tol, turunkan harga petrol, menghapus hutang PTPTN dan memperjuangkan hak rakyat tinggal janji semata. Harapan rakyat bertukar menjadi kekecewaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau membandingkan penubuhan ‘Kota Madani’ dengan Putrajaya yang dibina pada era Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana bebas daripada penjenamaan politik peribadi dan berfungsi sebagai pusat pentadbiran negara.

“Putrajaya dibina ketika negara berada dalam kemakmuran. Rakyat menikmati pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara yang pesat. Ia dibina untuk memudahkan urus tadbir dan pentadbiran negara, bukan untuk mengukuhkan legasi seorang individu.

“Sebaliknya, ‘Kota Madani’ menelan belanja RM4 bilion dibangunkan ketika negara berada dalam suasana ekonomi suram dan rakyat bergelut dengan pelbagai kesulitan dan kesengsaraan.

“Penurunan kuasa beli, beban cukai, penghapusan subsidi dan tekanan kos sara hidup yang tinggi. Dalam keadaan seperti ini, pembinaan kota baharu sebegitu tidak memberi makna langsung kepada rakyat, malah dianggap tidak sensitif dan pembaziran,” katanya.

Pembangunan Kota Madani seluas 41.28 hektar di Presint 19, Putrajaya itu bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman bagi menampung lebih 30,000 penduduk dan akan dibina secara vertikal berintensiti tinggi.

Anwar sebelum ini memaklumkan bahawa fasa pertama pembangunan itu melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menengah, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mendakwa nama ‘Kota Madani’ itu dikekalkan selaras dengan hasrat kerajaan yang dipimpin oleh Anwar. – HARAKAHDAILY 25/6/2025

- Advertisement -