
BACHOK: Kelantan kini berada di kedudukan keempat tertinggi dalam pengeluaran buah-buahan di Malaysia dengan jumlah pengeluaran sebanyak 134,277 metrik tan setahun.
Daripada jumlah tersebut, Jajahan Bachok menjadi penyumbang utama iaitu 20 peratus dengan pengeluaran 26,289 metrik tan, mengatasi jajahan-jajahan lain di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Bachok khususnya Kampung Kuala Rekang, Melawi, kini membuka dimensi baharu dalam pembangunan ekonomi luar bandar melalui sektor pertanian moden dan berdaya saing.
Katanya, projek komuniti tanaman mangga harumanis Fasa 1 yang bermula dengan satu ekar tanah dan penyertaan 10 peserta kini menjadi antara pemangkin kebangkitan pertanian premium di negeri ini.
“Kejayaan tanaman harumanis ini membuktikan potensi besar pertanian strategik apabila tanah terbiar dapat diaktifkan dan masyarakat digerakkan ke arah meningkatkan taraf hidup mereka secara menyeluruh.
“Mangga Harumanis bukan sekadar hasil pertanian bermusim. Ia adalah komoditi strategik yang terbukti mampu menjana pendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, dengan hasil antara 30 hingga 50 tan sehektar dan harga pasaran sekitar RM25 hingga RM45 sekilogram, potensi pendapatan mampu mencecah RM50,000 bagi setiap ekar semusim.
Semalam beliau mengadakan lawatan ke kebun harumanis milik pengusaha Mohd Redzuan Jusoh di Kampung Kuala Rekang, Bachok.
Menurut Dr Mohamed Fadzli, usaha membangunkan jenama Harumanis Al-Falah sebagai produk premium Kelantan sedang digiatkan melalui pelbagai strategi termasuk penjenamaan, pembungkusan dan perancangan eksport ke pasaran nasional serta antarabangsa.
Beliau berkata, dalam konteks keselamatan makanan negara yang kini mengimport makanan bernilai lebih RM65 bilion setahun, projek-projek seperti ini memberi makna besar.
“Isu sekuriti makanan sangat kritikal, bukan hanya kerana kekurangan wang untuk membeli, tetapi kerana situasi global seperti peperangan juga boleh jejaskan bekalan,” ujarnya.
Katanya lagi, walaupun pengeluaran buah-buahan negara meningkat daripada 1.68 juta metrik tan pada 2021 kepada 1.88 juta metrik tan pada 2023, jumlah tersebut masih tidak mencukupi dan negara masih bergantung kepada import buah-buahan berkualiti.
“Sudah sampai masanya kita tanya diri sendiri, apa lebihnya mereka daripada kita? Kita ada tanah, cuaca, tenaga kerja dan kesungguhan, yang penting ialah perancangan dan pelaksanaan yang berstrategi,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Dato’ Tuan Saripuddin Tuan Ismail, berkata, projek perintis berkenaan telah menerima pelaburan sebanyak RM120,000 dalam tempoh tiga tahun.
“Setakat ini, kita sudah tanam pokok dan sudah tiga kali ia telah berhasil. Kawasan ini sangat berpotensi dan sebanyak 8,000 biji buah telah dibalut daripada 100 pokok, menunjukkan hasil yang baik dan lebat,” katanya.
Tambah beliau, seramai 10 peserta baharu turut menyertai projek ini dan kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pertanian bagi memastikan bekalan baja mencukupi untuk penghasilan buah sepanjang tahun.
Beliau memaklumkan, sebuah pusat pengumpulan dan jualan akan dibuka di Melawi bagi memudahkan urusan pemasaran ke peringkat lebih luas.
Katanya lagi, Harumanis Al-Falah akan dijadikan penanda aras penghasilan buah pauh terbaik di negeri ini.
“Kita yakin, dengan rasa yang harum dan manis, produk ini mampu menjadi johan di seluruh Kelantan,” ujarnya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman.
Juga ADUN Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin, Pengurus Besar Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad, Mohd Mukhlis Mukhtar dan Ketua Jajahan Bachok, Mohd Zaki Yusof. – HARAKAHDAILY 24/6/2025




















