PM perlu isytihar konflik kepentingan, ambil cuti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman menggesa Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan dirinya berada dalam situasi konflik kepentingan dan mengambil cuti rehat daripada tugas sebagai Perdana Menteri sehingga kes peribadi beliau di mahkamah diselesaikan.

- Advertisement -

Gesaan itu menjadi satu daripada enam resolusi dipersetujui sempena sidang meja bulat oleh Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini semalam.

“Persepsi dan/atau kemungkinan kacau ganggu dalam pentadbiran kehakiman akan wujud selagi mana beliau memegang jawatan tersebut kerana kes peribadi yang sedang dihadapinya,” ujar peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang membacakan kandungan resolusi tersebut.

Turut hadir persidangan itu Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan ramai lagi.

Rafique berkata, sidang meja bulat itu turut menekankan keperluan pelantikan hakim kanan dibuat berdasarkan kelayakan, integriti dan senioriti, bukan atas hubungan atau kecenderungan politik.

“Nama individu-individu yang disyorkan untuk menggalas tugas Hakim-Hakim Kanan di Istana Kehakiman hendaklah berdasarkan kelayakan, integriti, senioriti dan bukan atas hubungan atau kecenderungan politik,” tegasnya.

Katanya, tidak harus wujud, atau persepsi wujudnya, situasi konflik kepentingan Perdana Menteri dalam pelantikan posisi-posisi tertinggi badan kehakiman negara lebih-lebih lagi apabila wujud kes-kes di mahkamah melibatkan Anwar dalam kapasiti peribadinya.

“Dalam situasi sedemikian, Perdana Menteri mesti mengumumkan dirinya mempunyai konflik kepentingan dan mengecualikan diri di dalam proses pemilihan Hakim-hakim ini,” terangnya.

Beliau turut menggesa agar Ahli Parlimen pembangkang memainkan peranan di Dewan Rakyat untuk mendesak Kerajaan membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan/atau Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009.

“Ini bagi memastikan Perdana Menteri tidak lagi terlibat dalam proses pelantikan hakim-Hakim,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa semua rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dan kapasiti perlu terlibat secara aktif dalam memantau proses pelantikan jawatan tinggi negara.

“Agar ianya tidak diganggu-gugat oleh Eksekutif yang berkuasa,” katanya.

Rafique berkata, semua ketetapan itu dicapai secara sebulat suara dalam sidang meja bulat dan ia dibuat demi kepentingan rakyat serta kedaulatan undang-undang.

“Resolusi sebulat suara keputusan meja bulat hari ini demi rakyat dan negara,” katanya. HARAKAHDAILY 24/6/2025

- Advertisement -