
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa perjuangan parti itu bukan untuk mengejar kuasa, pangkat atau gelaran, sebaliknya berteraskan kepada dasar Islam yang jelas.
Katanya, segala gerak langkah PAS berpaksikan agama suci Islam dengan al-Quran sebagai panduan, sunnah Rasulullah SAW sebagai teladan, serta ijmak dan qias ulama muktabar sebagai pedoman.
“Inilah beza besar antara perjuangan kita dengan mereka yang hanya menjadikan kuasa sebagai matlamat akhir. Bagi kita, kuasa itu hanyalah alat.
“Ia sekadar wasilah untuk membolehkan kita melaksanakan perintah Allah, menyempurnakan suruhan Nabi Muhammad SAW,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Tambah Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu, kuasa dalam perjuangan PAS tidak dianggap sebagai kemuliaan atau kebanggaan, sebaliknya satu amanah berat yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
“Jika tidak dipikul dengan benar, ia boleh menjadi sebab kehinaan dan penyesalan di akhirat nanti,” jelasnya.
Mohd Amar turut mengingatkan mengenai kisah Sahabat Rasulullah SAW, Abu Dzar al-Ghifari RA yang tidak diberi jawatan meskipun sangat dekat dengan Baginda.
“Seorang Sahabat Nabi yang sangat dikasihi, Abu Dzar al-Ghifari RA pernah datang meminta jawatan daripada Rasulullah. Namun Nabi menolaknya dengan sabda yang tegas.
“Baginda bersabda bahawa jawatan itu adalah satu amanah, dan pada hari kiamat ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang benar-benar menunaikan haknya dan menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaiknya.
“Bayangkan, Abu Dzar seorang yang zuhud, wara’, begitu dekat dengan Rasulullah pun tidak diberi jawatan, apatah lagi kita yang penuh kelemahan dan kekurangan ini.
“Maka jangan sesekali kita mencari kuasa demi kuasa. Jika itu niat kita, maka bersedialah untuk menanggung sesalan yang tiada penghujung di akhirat kelak,” nasihatnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Panchor itu menegaskan, perjuangan PAS adalah lebih besar daripada sekadar memiliki kuasa.
“Perjuangan ini lebih besar dari itu. Kuasa yang dicari bukan untuk mengisi poket atau membalas dendam, tetapi untuk menegakkan keadilan. Supaya yang miskin terbela, yang lemah tidak tertindas, dan keamanan dapat dikecapi oleh semua.
“Inilah jalan kita. Jalan yang panjang. Jalan yang penuh ujian. Ia bukan perjuangan sehari dua tetapi ia adalah satu kesinambungan, satu wasiat yang diwariskan sejak zaman para nabi hingga kini.
“Dan kita, sedang menyambung rantai perjuangan itu, demi redha Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2025











