
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan menganjurkan Himpunan Bantah Serangan Terhadap Iran di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di sini pada Jumaat ini.
Setiausahanya, Muhd Khidir Izaidin berkata, himpunan itu sebagai tanda bantahan terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan Israel yang telah dilancarkan ke atas negara Iran.
“Himpunan ini merupakan manifestasi solidariti dan kebersamaan umat Islam di Malaysia terhadap saudara seagama yang dizalimi di mana sahaja mereka berada,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau meminta kerjasama yang baik kepada orang ramai untuk menggerakkan mobilisasi anak-anak muda, aktivis serta masyarakat awam di negeri masing-masing bagi menghadiri himpunan ini secara aman dan tertib.
“Penekanan perlu diberikan kepada pematuhan arahan, disiplin, akhlak Islam serta menjaga keselamatan dan tatasusila sepanjang perhimpunan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan dan Media Baru PAS Pusat, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, himpunan itu diadakan bagi menyatakan pendirian tegas terhadap keganasan rejim laknatullah Israel dan Amerika Syarikat.
Serta tegasnya, sebagai menyokong tindakan balas negara Iran dalam mempertahankan maruah dunia Islam.
Nadzir yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, berkata perhimpunan dijadual bermula dengan solat Jumaat di Menara Tabung Haji, di sini, sebelum peserta bergerak beramai-ramai ke Kedutaan Amerika Syarikat.
“Semua Ketua Penerangan Negeri dikerahkan untuk membawa seramai mungkin ahli ke lokasi. Buktikan kekuatan kita sebagai pejuang kebenaran!
“Mari kita nyatakan sokongan kita terhadap rakyat Palestin dan negara-negara yang berani menentang kezaliman! Kita tidak akan berdiam diri,” katanya.
Beliau turut menyarankan orang ramai agar memakai pakaian serba putih sebagai simbol kesatuan dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan negara-negara Islam yang menentang kekejaman rejim Zionis. – HARAKAHDAILY 24/6/2025











