PBT Kulim Hi-Tech Park bakal dinaik taraf – Exco

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim akan dinaik taraf menjadi seperti PBT lain di Kedah, dalam tempoh terdekat, demikian jelas Mejar (B) Mansor Zakaria, di sini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri itu berkata, ketika ini PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim di bawah pengurusan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

“Kita berhasrat untuk menaik taraf PBT Taman Perindusrian Hi-Tech Kulim menjadi PBT seperti di majlis daerah lain, sama ada bertukar ke Majlis Daerah Taman Perindusrian Hi-Tech Kulim atau Majlis Perbandaran.

“Ini membolehkan PBT tersebut, disusun dengan lebih bersistematik terutama berkenaan urusan bersama para pelabur dan lain-lain pihak yang berurusan di PBT berkenaan,” jelas beliau kepada Harakahdaily, di sini.

Kata Mansor lagi, pertukaran seperti itu, sebelum ini berlaku kepada PBT Pengerang dan Pasir Gudang, Johor, yang dinaik taraf ke Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya.

“Majlis Perbandaran Pengerang dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sebelum ini merupakan PBT di bawah anak syarikat Kerajaan Negeri Johor.

“Kedua-dua PBT itu diwujudkan oleh Kerajaan Johor untuk membantu pentadbiran di kawasan berkenaan sebelum ini.

“Berikutan kedua PBT itu mampu bergerak sendiri, mereka membuat permohonan untuk berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” tambahnya lagi.

Terdahulu, beliau mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Kedah, mengadakan lawatan dan pertemuan dengan wakil Majlis Perbandaran Pengerang dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang di Johor.

Ia bagi mengadakan perbincangan dua hala, selain mendengar taklimat berhubung hasrat yang sama untuk menaik taraf PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim tersebut.

“Alhamdulillah, delegasi Kedah mendapat kerjasama yang baik dari kedua-dua pihak berkenaan. InsyaAllah, dalam tempoh terdekat, PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim akan mengadakan bengkel untuk memperhalusi kaedah ini,” katanya lagi.

Pada lawatan itu delegasi juga dibawa melawat Desaru Coast yang membangunkan projek dan hotel mewah sepanjang Pantai Desaru, antaranya Taman Tema Air, Hard Rock Hotel, Westin Hotel dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -