Harimau di Kulim: Usaha tangkap dipergiatkan lagi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan segera bertindak menangkap harimau yang dilaporkan berkeliaran sekitar hutan dan kawasan pertanian di Ulu Mahang, Kulim, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Menurut beliau, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) agar haiwan merbahaya itu dapat ditangkap segera.

Sebelum ini jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, usaha untuk memerangkap haiwan berkenaan telah dilakukan, namun masih belum berjaya.

“Kita guna kambing sebagai umpan, tetapi saya dimaklumkan perangkap menggunakan umpan kambing juga tidak berjaya. Selepas ini YB Wong akan ‘sponsor’ dua ekor lembu untuk dijadikan umpan menangkap harimau itu,” katanya sambil berseloroh.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui media pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Tegas beliau, harimau itu perlu segera ditangkap untuk mengelak kejadian yang tidak diingini memandangkan ia merupakan haiwan pemangsa berbahaya kepada manusia.

Sementara itu, ADUN Kulim, Wong Chia Zhen ketika ditemui media berkata, kehadiran harimau di sekitar hutan di Ulu Mahang hingga ke Ulu Dingin dan Sedim, telah dikesan sejak awal tahun ini.

Namun katanya, belum ada mana-mana pihak yang dilaporkan terserempak dengan ‘Pak Belang’ itu, tetapi kesan tapaknya memang dijumpai oleh penduduk kampung.

“Kita pun bimbang sebab kawasan itu bukan hanya hutan, tetapi juga kawasan pertanian seperti ladang kelapa sawit dan juga kawasan penternakan,” kata beliau.

Mengulas lanjut jelasnya, terdapat laporan dari penduduk kampung, hampir 20 lembu mati digigit angkara harimau berkenaan sejak kehadirannya beberapa bulan lalu dan memberi kerugian kepada penternak terbabit.

“PERHILITAN pun dah buat perangkap untuk harimau ini, tapi harimau ini seolah-olah ‘tak mudah ditipu’, belum masuk perangkap lagi,” tambah Exco Kerajaan Negeri Kedah itu.

Justeru kata Wong, pihaknya bercadang akan tukar umpan dari kambing ke lembu kerana kemungkinan kambing tidak begitu berjaya untuk menarik perhatian haiwan tersebut.

Pihaknya dan PERHILITAN akan berbincang bersama Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Mohammad Yusoff@Munir Zakaria untuk tindakan seterusnya.

Beliau berharap semua urusan berjalan lancar untuk membolehkan tindakan memerangkap haiwan tersebut dilakukan secepat mungkin. – HARAKAHDAILY 18/6/2025

- Advertisement -