
JERTEH: Ribuan rakyat khususnya warga Besut hadir ke majlis kuliah perdana (Kuliah Dhuha) dan bacaan Yasin serta doa selamat buat mangsa tragedi kemalangan dan keluarga mereka yang diadakan di Medan Ilmu Jertih, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Ustaz Riduan Mohamad Nor berkata, sambutan luar biasa itu mencerminkan sokongan dan simpati masyarakat terhadap mereka yang terkesan dalam kejadian menyayat hati tersebut.
Majlis itu diadakan susulan kemalangan bas melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meragut 15 nyawa dan menyebabkan 27 lainnya cedera dalam tragedi di Gerik Perak pada awal pagi 9 Jun lalu.
“Alhamdulillah, kehadiran melebihi jangkaan sehingga bandar Jertih agak sesak pada awal pagi. Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat.
“(Majlis ini) untuk mangsa yang terkorban serta kesembuhan sempurna kepada mereka yang masih dirawat di hospital dan di rumah,” katanya ketika ditemui.
Katanya, solat jenazah yang diadakan pada pukul 3 pagi di Masjid Hadhari baru-baru ini juga dihadiri ribuan jemaah, menzahirkan keprihatinan masyarakat terhadap keluarga mangsa.
Kebanyakan mangsa yang maut atau cedera dan masih menerima rawatan di hospital atau sudah pulang ke pangkuan keluarga berasal daripada daerah Besut dan menaiki bas di masjid tersebut pada malam itu.


Dr Riduan merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat menjayakan program khas bersempena Kuliah Dhuha yang menjadi rutin setiap Jumaat.
Menurutnya, petugas program telah menggerakkan usaha hebahan ke seluruh kampung bagi mengajak masyarakat hadir lebih awal menyertai majlis hari ini.
“Masyarakat Besut memang cintakan ilmu dan sentiasa hadir mendengar kuliah agama walaupun perlu meluangkan masa dan tenaga.
“Semoga usaha ini mendapat rahmat Allah dan mengalirkan keberkatan kepada rakyat Besut dan keluarga yang tengah bersedih,” katanya lagi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Majlis kali ini turut menampilkan pendakwah terkenal, Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi, sebagai penceramah jemputan.
Medan Ilmu Bandar Jerteh merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Terengganu selepas memenangi semula pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Antara penceramah tersohor yang pernah mengisi slot di sini termasuk Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Rani, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dan Ustaz Azhar Idrus. – HARAKAHDAILY 14/6/2025






















