
KOTA BHARU: Pihak yang berada di luar parti terus menimbulkan persepsi buruk terhadap masalah dihadapi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelang pemilihan parti September depan.
Timbalan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walhal ijtihad dan idea Ahli Parlimen Marang itu masih ditagih oleh umat Islam hadapi cabaran politik negara semakin mencabar.
Sebaliknya menurut beliau, PAS terus mengekalkan tradisi pemilihan parti setiap dua tahun sekali tanpa sebarang pertelingkahan dalam kalangan ahli dan pimpinan, bukan seperti parti-parti lain.
“Orang luar tu. Kita dalam parti tiada masalah apa pun, kekal tenang, cuma orang tengok pasal apa tidak bergolak PAS ni, dia berebut juga tetapi berebut tidak mahu jawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Kota Bharu Kali Ke-58 di Kelantan Trade Center (KTC), di sini pagi tadi.
Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu merangkap Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS mengekalkan konsep keterbukaan dalam pemilihan parti, malah pihaknya tidak menyekat mana-mana ahli untuk membuat pencalonan.
Bagaimanapun katanya, kepimpinan ulama yang menjadi pegangan PAS sekian lama mesti dikekalkan kerana dasar perlembagaan parti ini bersumberkan al-Quran, Sunnah, Ijmak Ulama dan Qias.
“Cuma kepimpinan ulama sebagai yang telah kita sebut kita mengekalkan kepimpinan ulama bukan semestinya seorang ulama, dia menerima dasar yang telah ditetapkan oleh parti.
“Bila sebut demikian sudah tentu orang yang boleh mahir mengambil nas al-Quran Sunnah dan sebagainya, sebab dalam politik banyak benda baru memerlukan ijtihad dalam keputusan parti,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2025











