
KUBANG KERIAN: Dua jambatan sempit di Kampung Aur Duri dan Limbat dibaik pulih setelah disuarakan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sidang Parlimen.
Bagaimanapun beliau berkata, projek tersebut hanya sebahagian daripada 24 jambatan yang memerlukan perhatian serius kerajaan untuk diselenggara dan dibaik pulih untuk pastikan kemudahan terjamin.
Menurut beliau, pihaknya melalui Pusat Khidmat Rakyat Parlimen menerima aduan dan melakukan tinjauan bagi melihat sendiri situasi sebenarnya sebelum melakukan tindakan seterusnya.
“Jadi kita nampak ada tindakan kita bangkitkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam isu melibatkan pembangunan, saya bangkitkan isu jambatan sempit yang ada di Kubang Kerian.
“Dengan aduan rakyat, semua jambatan ini perlukan kerajaan untuk ‘upgrade’, nampak alhamdulillah ada jambatan yang telahpun diluluskan peruntukkan dan dalam proses pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian program Kesedaran Pencegahan Jenayah Parlimen Kubang Kerian 2025 diadakan di Ruang Legar Masjid at-Taqwa Pasir Tumboh, semalam.
Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Dato’ Abdul Rahman Yunus dan ADUN Salor, Saizol Ismail dan Pengerusi Masjid at Taqwa, Ustaz Dr Mohd Alwee Yusoff.
Tuan Ibrahim turut membangkitkan sebuah jambatan sempit di Jalan Persekutuan (FT) 211 berhampiran Kampung Panjang Banggu berhampiran Persimpangan Binjai yang memerlukan tindakan segera.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato Rubiah Wang menjelaskan, kedua-dua jambatan itu di bawah kelolaannya menerusi Jambatan Luar Bandar (JMLB).
Menurutnya, pembinaan jambatan sepanjang 20 meter di Kampung Aur Duri telah bermula pada Jan 2024 dan dijangka siap pada November tahun ini dengan peruntukkan kementerian sebanyak RM4 juta.
Sementara itu di Kampung Limbat katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.41 juta memulakan projek naik taraf jambatan tersebut pada 21 Oktober 2024 dan dijangka siap pada Oktober 2026.
Menerusi skop yang pihaknya turut menerima permohonan untuk menyelenggara dan menaiktaraf jambatan sempit dalam laluan FT211 berhampiran Persimpangan Binjai di Kampung Panjang.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata hasil semakannya mendapati baki 21 jambatan yang dibangkitkan oleh Tuan Ibrahim terletak dibawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). – HARAKAHDAILY 14/6/2025












